Anwar tegur kuasa besar, negara kecil juga layak dihormati

Anwar Ibrahim. Foto Bernama
Anwar Ibrahim. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis membidas keputusan unilateral yang diambil oleh sesetengah negara kerana ia hanya menunjukkan kuasa dan keangkuhan serta tidak mempedulikan kepentingan, terutamanya negara kecil.

"Kita perlu menunjukkan bahawa setiap masyarakat, setiap negara, sama ada kecil, kaya atau miskin, mesti diberi penghormatan dan pengiktirafan yang sewajarnya,” kata Anwar semasa menyampaikan syarahan umum bertajuk "ASEAN in a Multipolar World: Perspectives from Malaysia" di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO).

Anwar yang juga Menteri Kewangan menerima anugerah Doktor Kehormat daripada MGIMO atas sumbangan beliau dalam menegakkan keamanan sejagat serta mengeratkan kerjasama antarabangsa.

"Apabila kita membicarakan tentang hubungan dua hala, ia bukan sahaja mengenai politik dan diplomasi tetapi juga melibatkan perdagangan, pelaburan dan kerjasama industri.

"Negara-negara perlu memastikan asas ekonomi mereka kukuh tetapi nilai kemanusiaan tidak boleh diabaikan," kata Perdana Menteri.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin dan rakyat negara itu atas penghormatan yang diberikan kepada Malaysia serta sambutan mesra terhadap delegasi negara.

Anwar berkata, pertemuan beliau dengan Putin berlangsung dengan sangat baik meskipun latar belakang, budaya dan tamadun yang berbeza antara kedua-dua negara.

"Kami berada di sini atas jemputan beliau, sama seperti rakan sekerja saya, dan kami mengadakan perbincangan dengan pemimpin antarabangsa yang sangat penting, yang melayan negara yang agak kecil dengan rasa hormat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga di ASEAN, katanya, walaupun terdiri daripada 10 negara yang berbeza, "kami saling hormat-menghormati, mendukung kesaksamaan dan inilah yang perlu ditonjolkan kepada dunia."

"Kami berterima kasih kepada rakyat Rusia atas penghormatan dan penghargaan yang diberikan dan percaya bahawa kita perlu bekerjasama walaupun berbeza budaya dan agama, dan menjadi sahabat baik,” ujar beliau.

Anwar berkata, hubungan dua hala juga perlu melibatkan pertukaran belia dan pelajar serta penyelidik antara Malaysia dan Rusia.

Menurut beliau, terdapat hampir 400 pelajar Rusia yang melanjutkan pengajian di Malaysia manakala kira-kira 700 pelajar Malaysia sedang menuntut di Rusia.

Beliau turut memuji MGIMO kerana menawarkan pengajian Bahasa Malaysia sebagai mata pelajaran di universiti tersebut, sambil menambah bahawa pengajian bahasa Rusia juga ditawarkan di Universiti Malaya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!