X

Kindly register in order to view this article
!

Kedah bimbang nasib projek KXP

Mukhriz memberikan penerangan bersama kepimpinan PH pada Program Siri Jelajah Pertahankan Mandat Rakyat di pekarangan Pejabat PH Kedah. -Foto Facebook Dr Ismail Salleh
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah bimbang terhadap masa depan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang kini dalam pembinaan selepas Pakatan Harapan (PH) tidak menerajui kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya juga mempersoalkan sama ada kerajaan Pusat yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meneruskan projek tersebut selepas Kedah menjadi negeri pembangkang.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri akan berusaha menjaga kebajikan rakyat walaupun perlu mengawal perbelanjaan.

"Saya tidak tahu nak kata apa tentang projek KXP ini (selepas peralihan kuasa). Sebelum ini dah dekat nak dapat duit daripada kerajaan Pusat (Pakatan Harapan) untuk pengambilan tanah dan sebagainya.

"Tiba-tiba perkara ini berlaku, kita pun tertanya-tanya. Jadi atau tidak, di peringkat kerajaan negeri kita akan lakukan yang terbaik," katanya semasa berucap pada Program Siri Jelajah Pertahankan Mandat Rakyat di pekarangan Pejabat Pakatan Harapan (PH) Kedah di sini malam kelmarin.

Mukhriz berkata, Projek KXP bakal berdepan dengan masalah jika kerajaan Persekutuan menolak atau pun tidak memberikan tumpuan kepada projek berimpak tinggi tersebut.

"Tahun 2020, kami tetapkan tahun pelaksanaan. Contohnya Hospital Pendang kini dalam pembinaan dan kerja-kerja pembersihan tanah untuk Kedah Rubber City (KRC) sudah dilaksanakan. Pelabur pun sudah datang nak tandatangan. Kita lihat kilang-kilang dibina dan bakal memberikan pulangan lumayan kepada rakyat negeri Kedah.

"Di Bukit Kayu Hitam pula banyak kilang-kilang dalam dan luar negara berminat membuka kilang kerana bersempadan dengan Thailand. Kita terpaksa minta tolong kepada kerajaan Persekutuan kerana projek-projek ini memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat," kata beliau.

Pada Mac 2019, kerajaan Pusat di bawah PH telah meluluskan tujuh projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion termasuk pembinaan KXP yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!