Lebih 40,000 peluang kerjaya ditawarkan di Selangor

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor terus memperkasa kebajikan dan peluang kerjaya rakyat di negeri ini menerusi pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif.
Antaranya penganjuran Karnival Jelajah JobCare Selangor yang akan menjelajah ke sembilan daerah di negeri ini dengan menawarkan lebih 40,000 peluang pekerjaan pelbagai sektor bermula sejak 19 April lalu di daerah Gombak.
Menurut Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman, inisiatif padanan pekerjaan secara besar-besaran ini adalah antara usaha strategik bagi membantu rakyat khususnya golongan rentan mendapatkan pekerjaan yang sesuai.
“Sepanjang tahun 2024 sahaja, seramai lebih 3,000 pencari kerja telah berjaya dibantu, termasuk golongan belia, ibu tunggal, graduan baharu dan mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Negeri Selangor yang berlangsung di Foyer Setiausaha Kerajaan Negeri, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Khamis.
Selepas Gombak, Karnival Jelajah JobCare Selangor dijadualkan berlangsung di daerah Petaling (24 Mei-Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya SS3); Kuala Langat (21 Jun-Dewan Sri Jugra); Hulu Selangor (5 Julai-Dewan Merdeka Kuala Kubu Bharu).
Ia diteruskan ke daerah Hulu Langat (19 Julai-Dewan Perbandaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya); Klang (27 September-Dewan Hamzah); Kuala Selangor (9 Ogos-Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Puncak Alam); Sabak Bernam (11 Oktober-Dewan Tun Razak) dan daerah terakhir Sepang (15 November-Dewan Komuniti BBST).
Tambahnya, kerajaan negeri turut memperkenalkan Program Insentif Bantuan Sijil Profesional bagi menggalakkan peningkatan kemahiran dan pembangunan kerjaya dalam kalangan pekerja.
“Program ini membolehkan peserta mengikuti kursus sijil profesional seperti ACCA bagi meningkatkan daya saing dan mobiliti kerjaya mereka,” jelasnya.
Beliau turut mengakui dunia pekerjaan hari ini berdepan pelbagai cabaran termasuk automasi, kecerdasan buatan (AI), kos sara hidup yang meningkat serta isu keselamatan pekerjaan.
“Justeru, kerajaan negeri akan terus bergerak pantas, proaktif dan inklusif dalam membela nasib pekerja dan memastikan kebajikan mereka terus terbela,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!