Marahkan suami, isteri beri empat anak minum racun

AURANGABAD - Hanya kerana pertelingkahan dengan suaminya, seorang wanita tergamak bertindak di luar batasan apabila nekad memberi racun kepada empat anaknya yang berusia antara satu hingga enam tahun.
Dalam kejadian pada Rabu, Sonia Devi, 40, dilapor melakukan perbuatan itu di sebuah stesen kereta api di daerah Rafiganj.
Menurut pegawai penguatkuasa stesen, Inspektor Ram Sumer, pihaknya menerima laporan seorang wanita bersama empat kanak-kanak terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Apabila pihak keselamatan dan polis tiba di tempat kejadian, kesemua mangsa dalam keadaan kritikal dikejarkan ke hospital berhampiran.
"Tiga daripada empat kanak-kanak terlibat meninggal dunia manakala wanita itu dan anaknya yang berusia enam tahun masih kritikal," katanya.
Ram Sumer berkata, mangsa yang terbunuh ialah Suryamani Kumari, 5, Radha Kumari, 3, dan Shivani Kumari, 1.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati Sonia Dewi telah memberi minum beberapa jenis racun kepada anak-anaknya sebelum wanita itu sendiri meminumnya.
"Mayat mangsa telah dibawa ke unit forensik untuk bedah siasat dan tindakan lanjut.
"Punca kejadian sebenar masih disiasat dan polis telah merekodkan kenyataan daripada ahli keluarga dan suami mangsa," jelasnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!