[VIDEO] Penginapan baharu jemaah haji Malaysia tawar keselesaan maksimum, mesra OKU
MAKKAH – Penempatan baharu jemaah haji Malaysia bagi musim 1446H/2025M di Abraj Al Tayseer di sini menawarkan keselesaan maksimum dengan pelbagai fasiliti disediakan termasuk kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU).
Pengurus Maktab 83A, Mohd Shafiq Shawal berkata, bangunan terletak kira-kira satu kilometer dari Masjidil Haram itu mempunyai lebih 600 bilik penginapan dan mampu menampung seramai 6,700 jemaah.
Menurutnya, setiap bilik menempatkan antara tiga hingga lima jemaah dan dilengkapi kad akses individu bagi memastikan keselamatan dan kelancaran urusan keluar masuk.
“Bangunan penginapan ini turut dilengkapi laluan khas untuk OKU serta lif di keempat-empat menara bagi memudahkan pergerakan jemaah yang memerlukan bantuan mobiliti.
“Selain itu, ruang makan disediakan dengan susun atur selesa dan Tabung Haji (TH) sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik melalui penyediaan juadah makanan melalui khidmat Makkah catering,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Abraj Al Tayseer.

Beliau berkata, bagi melancarkan proses agihan makanan pula, jemaah digalakkan melantik seorang wakil bilik untuk mengambil makanan bagi rakan sebilik.
Dalam pada itu beliau berkata, antara kemudahan lain disediakan di Abraj Al Tayseer termasuk dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kedai cenderamata, kafeteria dan farmasi yang terletak berhampiran bangunan.
“Bangunan ini juga menempatkan klinik yang dikendalikan oleh pasukan perubatan TH.
“Setiap maktab mempunyai kaunter perkhidmatan, bilik operasi dan guru-guru agama yang bersedia membantu jemaah dalam hal ibadah,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!