Dua tokan diberkas, 50 ketulan mampat ganja dirampas

Antara ketulan mampat ganja yang dirampas daripada dua suspek pada serbuan Sabtu lalu.
Antara ketulan mampat ganja yang dirampas daripada dua suspek pada serbuan Sabtu lalu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah jenis ganja dalam serbuan di Perai di sini, yang membawa kepada rampasan sebanyak 51,180 gram ganja bernilai RM158,658 pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman yang menahan dua lelaki tempatan berusia 45 dan 59 tahun menaiki sebuah kereta.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam kenderaan tersebut menemui sebanyak 50 ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja yang dibalut dengan plastik lutsinar.

“Nilai pasaran keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM158,658 dan kesemua dadah itu boleh digunakan oleh 102,360 orang penagih,” katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Rabu.

Helmi berkata, ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka negatif daripada sebarang jenis dadah.

Bagaimanapun, katanya, semakan rekod mendapati kedua-duanya mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Dalam pada itu, beliau berkata, dua buah kenderaan milik suspek bernilai RM81,000 turut disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 kerana dipercayai diperoleh hasil daripada aktiviti pengedaran dadah.

“Kedua-dua tangkapan kini direman selama tujuh hari sehingga 17 Mei 2025 untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!