Lori langgar lampu merah, rempuh motosikal dan kereta

MANJUNG - Seorang remaja lelaki cedera selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah lori yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah dalam kejadian di Kilometer 5, Jalan Sitiawan–Lumut pada Rabu.
Dalam kejadian sekitar jam 9.30 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun datang dari arah Jalan Pinang Raja menuju ke arah Sitiawan bersama dua kenderaan lain.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, semasa di persimpangan lampu isyarat hadapan Wisma Remco, sebuah lori dikatakan mengalami masalah brek dan gagal berhenti ketika lampu merah menyala.
“Lori tersebut kemudian merempuh motosikal serta dua kereta yang berada di hadapannya.
“Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan di kaki dan segera dihantar ke Hospital Seri Manjung bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Hasbullah berkata, ujian saringan air kencing mendapati pemandu lori terbabit bebas daripada sebarang pengaruh dadah.
Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.
Maklumat mengenai kejadian boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nur Syafiqah Baharudin di talian 012-6275962.
Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial yang memaparkan perlanggaran membabitkan lori bersama sebuah motosikal dan kereta.
Video berdurasi satu minit itu dengan jelas menunjukkan lampu isyarat sedang hijau ketika motosikal bergerak sebelum secara tiba-tiba dirempuh lori.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!