India-Pakistan: Tiada siapa pemenang

Seorang lelaki membawa potret Ketua Tentera Pakistan, Jeneral Syed Asim Munir, semasa perhimpunan solidariti di Islamabad. Foto AFP
Seorang lelaki membawa potret Ketua Tentera Pakistan, Jeneral Syed Asim Munir, semasa perhimpunan solidariti di Islamabad. Foto AFP
A
A
A

PARIS - Gencatan senjata antara India dan Pakistan telah meredakan kebimbangan berlakunya perang besar-besaran. Namun, menurut pakar, tiada pihak yang boleh diisytiharkan sebagai pemenang jelas dalam konflik singkat antara dua kuasa nuklear ini.

Kedua-dua negara Asia Selatan itu mendakwa telah mencapai matlamat masing-masing dalam konflik terburuk mereka sejak tahun 1999, namun enggan mengakui kerugian besar yang dialami.

Empat hari pertempuran sengit bermula pada Rabu lalu apabila India melancarkan serangan ke atas apa yang didakwanya sebagai “infrastruktur pengganas” di Pakistan.

India menuduh Pakistan menyokong militan yang bertanggungjawab terhadap serangan pada April lalu di Kashmir yang dikuasai India, dan menyebabkan 26 orang terbunuh – satu dakwaan yang dinafikan oleh Islamabad.

“Kalau kemenangan diukur melalui jumlah pesawat yang hilang, maka India sememangnya kalah,” kata penganalisis Ashley Tellis dari Carnegie.

“Tetapi India juga berjaya menyerang beberapa sasaran permukaan Pakistan dan menyebabkan kerugian ketara kepada pihak lawan,” katanya kepada AFP.

Fabian Hoffmann dari Universiti Oslo pula berkata kedua-dua pihak masih saling mendakwa berjaya menjatuhkan pesawat lawan, namun tiada bukti jelas diperoleh setakat ini.

“Apa yang ketara ialah penggunaan sistem serangan jarak jauh konvensional oleh kedua-dua pihak untuk menyasarkan infrastruktur ketenteraan jauh dalam wilayah musuh, termasuk berhampiran ibu negara mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Walaupun agak lambat bertindak, masyarakat antarabangsa termasuk Amerika Syarikat akhirnya campur tangan, bimbang akan kemungkinan konflik semakin meruncing.

Hoffmann berkata kedua-dua pihak menunjukkan kurangnya kawalan, walaupun tidak berlaku serangan sengaja terhadap infrastruktur awam utama.

“Sebarang perubahan ke arah itu boleh membawa konflik lebih dekat ke ambang penggunaan senjata nuklear,” jelasnya.

Tellis pula mengingatkan bahawa dalam suasana dunia yang semakin ganas – terutamanya dalam negara yang bergelut dengan ketidakstabilan dalaman – pengawasan antarabangsa perlu dipertingkatkan.

“Fakta bahawa kedua-dua negara adalah kuasa nuklear menjadikan imbangan kuasa konvensional sangat penting. Namun realitinya, tiada pihak mempunyai kelebihan ketara dalam perang jangka pendek,” katanya.

Seperti konflik moden lain, perang ini menyaksikan penggunaan meluas dron dalam operasi ketenteraan, menurut Oishee Majumdar dari firma risikan British, Janes.

India dilaporkan menggunakan dron letupan Harop dan Harpy buatan Israel serta dron pengintip Heron. Turut digunakan ialah dron tempatan Nishant dan Drishti.

Media India turut melaporkan penggunaan peluru berpandu SCALP dan BrahMos, serta bom AASM Hammer dari syarikat Perancis, Safran.

Menurut Military Balance, Pakistan pula menggunakan dron Songar buatan Turkiye serta pelbagai dron buatan China termasuk CH-3, CH-4 dan Wing Loong serta dron Akinci dan TB2 dari Turkiye.

Pada awal konflik, China menyeru kedua-dua pihak supaya bertenang dan berjanji memainkan peranan konstruktif. Namun, pakar berpendapat Beijing telah memihak kepada Islamabad.

China menyifatkan Pakistan sebagai “rakan seakrab besi” dan berkata mereka memahami “kebimbangan keselamatan sah Pakistan,” menurut Chietigj Bajpaee dari Chatham House.

“Lebih 80 peratus import senjata Pakistan sejak lima tahun lalu datang dari China,” jelasnya.

Beijing membekalkan sistem utama seperti peluru berpandu permukaan-ke-udara HQ-9/P, pertahanan udara jarak sederhana LY-80 dan sistem FM-90, kata John Spencer dari Modern War Institute.

Namun katanya, pergantungan Islamabad terhadap eksport China hanya mencipta “ilusi kekuatan yang rapuh”. Sistem pertahanan yang sepatutnya berfungsi secara berlapis itu “gagal” menghalang serangan India minggu lalu.

Pakistan mendakwa berjaya menembak jatuh lima jet pejuang India, termasuk tiga Rafale buatan Perancis, semuanya ketika berada dalam ruang udara India. India bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang kerugian.

Sumber ketenteraan Eropah menyifatkan dakwaan tiga Rafale musnah sebagai “sangat tidak mungkin”, tetapi menganggap kemungkinan satu jatuh sebagai “boleh dipercayai”.

Penganalisis percaya jet India itu ditembak oleh peluru berpandu udara-ke-udara PL-15E buatan China, yang digunakan pesawat J-10C Pakistan. Serpihan peluru berpandu itu ditemui di wilayah India.

“India kehilangan sekurang-kurangnya satu Rafale dalam serangan ultra-jarak jauh oleh J-10C Pakistan menggunakan peluru berpandu PL-15,” kata Tellis.

Peluru berpandu jenis ini boleh menyerang dari jauh dan hanya mengaktifkan radar pada saat-saat akhir, menjadikannya sukar untuk dielak, menurut juruterbang pejuang Perancis yang ditemu bual AFP.

“Anda tak boleh lari daripadanya.” – AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!