JKM jejak waris bekas pemain hoki

Laporan Sinar Harian pada 9 Mei lalu mengenai Mohamad Asmawi. (Gambar kecil: Khairul Amri)
Laporan Sinar Harian pada 9 Mei lalu mengenai Mohamad Asmawi. (Gambar kecil: Khairul Amri)
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini giat mengesan waris kepada lelaki dipercayai bekas pemain hoki kebangsaan, Mohamad Asmawi Zaidi yang dikatakan tinggal di Kampung Ibok, Kemaman, Terengganu.

Pengarah JKM Pahang, Khairul Amri Ahmad berkata, usaha itu dilakukan JKM Kemaman bagi mendapatkan kerjasama ahli keluarga dalam aspek sokongan sosial kepada penama tersebut.

“Pihak JKM Kuantan telah berhubung dengan JKM Kemaman bagi membantu mengesan waris dan maklumat awal yang diterima menyatakan ibu tiri penama dipercayai tinggal di Kampung Ibok, Kemaman.

“Bagaimanapun, JKM Kemaman masih dalam proses pengesanan dan belum dapat mengesahkan keberadaan individu tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, hasil rujukan Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mendapati Mohamad Asmawi masih dalam rawatan dan pemantauan di wad psikiatri hospital terbabit.

Jelasnya, pihak JKM akan memastikan Mohamad Asmawi mendapat bantuan sewajarnya bagi membolehkannya kembali menjalani kehidupan lebih baik.

“Sekiranya waris atau mana-mana individu mengenali keluarga beliau, kami mohon agar tampil memberikan kerjasama dengan menghubungi pejabat JKM terdekat,” ujarnya.

Terdahulu, Mohamad Asmawi ditemui oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam keadaan tidak terurus di sekitar bandar Kuantan sebelum dibawa ke HTAA untuk rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Ia susulan tular satu rakaman video memaparkan lelaki itu berjalan berkaki ayam dan meracau dipercayai kurang siuman di media sosial.

Mohamad Asmawi pernah membawa cabaran pasukan hoki kebangsaan dalam beberapa kejohanan antarabangsa termasuk di Jerman, India dan Pakistan.

Difahamkan, dia meninggalkan dunia sukan pada usia sekitar 25 tahun dan pulang ke kampung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!