'Tak masuk akal jika United jual Fernandes'

LEGENDA Manchester United, Ryan Giggs, tidak dapat membayangkan jika kelab itu melepaskan Bruno Fernandes pada jendela perpindahan akan datang.
The Red Devils kendalian Ruben Amorim itu dijangka melakukan rombakan besar-besaran pada musim panas ini selepas kempen Liga Perdana Inggeris yang dianggap mengecewakan.
Difahamkan sekurang-kurangnya 10 pemain bakal disingkirkan dan Amorim mahu membuat perubahan ketara dalam skuad sedia ada.
Antara pemain yang kontraknya tamat dan dijangka tidak akan disambung ialah Jonny Evans, Tom Heaton, Christian Eriksen dan Victor Lindelof.
Beberapa nama besar lain seperti Marcus Rashford, Antony, Jadon Sancho, Tyrell Malacia dan Casemiro juga dikatakan akan dijual sebagai sebahagian daripada proses rombakan skuad.
Dalam masa yang sama, kelab gergasi Arab Saudi, Al Hilal dilaporkan sedang menimbang tawaran lumayan bagi memancing kapten United, Bruno Fernandes.
Bagaimanapun, Amorim menegaskan Fernandes tidak akan dijual pada musim panas ini dan Giggs turut menggesa bekas kelabnya untuk menolak sebarang tawaran terhadap pemain tengah Portugal itu.
“Tiada pemain lebih besar daripada kelab, tetapi ketika ini, dia adalah pemain istimewa, dia kapten pasukan.
“Dialah yang mencipta detik-detik istimewa dalam perlawanan. Dia nampak berada dalam kelas tersendiri sekarang.
“Tak masuk akal untuk melepaskannya ketika ini kerana prestasi pasukan ketika dia bermain atau tidak bermain sangat jauh berbeza.
“Dia sentiasa cergas, sentiasa mahukan bola. Memang dia ada kelemahan, tapi kekuatannya jauh mengatasi kelemahannya. Dia pemain yang cemerlang," katanya.
Musim ini, Fernandes telah mempamerkan prestasi memberangsangkan dengan mencatat 38 penglibatan gol (19 gol, 19 bantuan gol) dalam 54 perlawanan bagi semua kejohanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
