Cabaran membentuk Kabinet

A
A
A

KEMELUT politik negara yang berlaku dua minggu lalu nampaknya sedang memasuki fasa ‘gencatan senjata’. Dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan pada Ahad lalu, ia meredakan sejenak suhu panas politik negara disebabkan krisis kepimpinan yang akhirnya meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dengan persidangan Parlimen dianjakkan daripada tarikh yang sebenar, kesempatan itu memberikan Muhyiddin sedikit masa untuk berbuat sesuatu. Terdapat dua perkara yang harus dilakukan ketika ini, pertama menyelesaikan segera permasalahan peralihan kuasa yang turut menjejaskan pentadbiran di negeri-negeri terutama di Melaka, Perak dan Kedah, manakala yang kedua, segera membentuk Kabinet.

Walaupun kedua-duanya sama penting, namun membentuk Kabinet lebih utama untuk diselesaikan. Kabinet merupakan tulang belakang kejayaan seseorang Perdana Menteri dalam mentadbir kerajaannya. Sebab itulah, barisan ahli Kabinet yang kuat dan berwibawa selalunya memberikan legitimasi serta sokongan yang baik kepada kepemimpinan yang ada.

Secara congakan, UMNO dan Pas sudah tentu mahukan banyak jawatan Kabinet disebabkan jumlah kerusi mereka yang besar. Pada masa yang sama, mereka yang melompat parti dan membolehkan peralihan kerajaan berlaku juga turut berharap agar jasa mereka dibalas dengan sewajarnya.

Paling menjadi tumpuan sudah tentulah siapa yang bakal dilantik untuk bergandingan dengan Muhyiddin sebagai orang nombor dua di Putrajaya. Lazimnya, dalam konteks Malaysia, acuan yang digunakan adalah Timbalan Perdana Menteri dilantik daripada wakil parti yang mempunyai kerusi yang kedua terbesar dalam pakatan tersebut. Ia berlaku ketika pentadiran kerajaan PH. Sebelumnya, jawatan itu diberikan kepada individu yang menjawat jawatan Timbalan Presiden Umno ketika era Barisan Nasional (BN) yang sesuai dengan tradisinya.

Jadi, kalau formula yang sama terpakai, maka Pengerusi BN (baca: Presiden UMNO) sudah tentulah akan dipertimbangkan untuk jawatan itu. Namun, beranikah Muhyiddin melakukannya? Pelantikan itu kalau berlaku sudah tentu akan mengundang kritikan rakyat disebabkan kes mahkamah yang sedang berlangsung dan sudah tentu melanggar prinsip Muhyiddin yang mahukan ahli Kabinet yang bersih, telus dan berintegriti.

Jika Presiden Pas juga dipertimbangkan untuk jawatan tersebut, bolehkah UMNO menerimanya? Dan sudah tentu adakah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti-parti di Sabah juga reda dengan hal itu?

Dan kalaulah dua-dua ketua parti itu tidak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, maka siapakah yang mahu dipertimbangkan oleh Muhyiddin sebagai orang nombor duanya? Apakah Perdana Menteri berani menongkah arus dengan melantik orang-orang dari Sabah atau Sarawak untuk jawatan tersebut? Walaupun nampak enteng tetapi ia akan mengembalikan keyakinan dan sokongan orang Sabah serta Sarawak kepada kepimpinan Muhyiddin.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, keputusan melantik ahli Kabinet tetap hak prerogatif Perdana Menteri. Beliau masih ada waktu untuk berbuat demikian. Semoga ALLAH memberikan hidayah dan kekuatan buat Perdana Menteri untuk memilih mereka yang bukan sahaja bersih, telus dan berintegriti tetapi yang benar-benar memahami maksud berkhidmat untuk rakyat yang sering menjadi zikir harian politikus negara.

Lazimnya, dalam konteks Malaysia, acuan yang digunakan adalah Timbalan Perdana Menteri dilantik daripada wakil parti yang mempunyai kerusi yang kedua terbesar dalam pakatan tersebut."

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)