[VIDEO] 'Kenapa tinggal ibu... ibu sayang Aqil'

A
A
A

BALING – “Kenapa tinggal ibu... ibu sayang Aqil.”

Demikian rintihan pilu seorang ibu, Nuramalina Ibrahim, 37, selepas jasad anak bongsunya, Muhammad Aqil Fitri Hishamudin, 12, ditemukan lemas di sungai berhampiran rumah mereka di Felda Teloi Kanan.

Mangsa dikatakan mandi bersama lapan rakan di sungai tersebut pada Ahad sebelum ditemukan dalam keadaan telangkup di permukaan air, kira-kira 700 meter dari lokasi terakhir dia dilihat, sekitar jam 1.31 petang Isnin.

Menurut Nuramalina, meskipun sedih atas kehilangan anak yang disayangi, beliau tetap reda dengan ketentuan ALLAH SWT.

“Meskipun pada awalnya saya reda sekiranya hanya jasadnya yang ditemui, tetapi sebaik sahaja terlihat Aqil yang sudah kaku, saya tidak dapat menahan perasaan sedih yang teramat,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, arwah merupakan seorang anak yang pendiam, boleh diharap, dan sering membantu menguruskan nenek yang sakit di rumah ketika beliau keluar bekerja.

Nuramalina terpaksa dipapah sebaik sahaja dimaklumkan mengenai selepas jasad anak bongsunya, Muhammad Aqil Fitri Hishamudin, 12, ditemukan lemas di sungai berhampiran rumah mereka di Felda Teloi Kanan.
Nuramalina terpaksa dipapah sebaik sahaja dimaklumkan mengenai selepas jasad anak bongsunya, Muhammad Aqil Fitri Hishamudin, 12, ditemukan lemas di sungai berhampiran rumah mereka di Felda Teloi Kanan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, adik Nuramalina, Muhammad Anuar Ibrahim, 32, berkata jasad anak saudaranya itu timbul secara tiba-tiba ketika azan Zohor berkumandang dari masjid berhampiran.

“Alhamdulillah, ada orang nampak jasad Aqil muncul selepas azan Zohor... syukur, mungkin Allah hendak tunjuk kekuasaan-Nya,” katanya.

Tambahnya, mereka tidak menyangka perubahan sikap Aqil yang lebih pendiam sepanjang minggu lalu adalah petanda bahawa dia akan pergi buat selama-lamanya.

Sementara itu, rakan mangsa, Putera Muhamad Faris Fadli, 12, memaklumkan bahawa Aqil muncul dalam mimpinya dan meminta pertolongan.

“Saya mimpi dia minta tolong malam tadi, sambil melambai tangan dan beritahu air tinggi, tetapi saya tak dapat bantu dia,” jelasnya dalam nada sebak.

Anggota bomba melaksanakan operasi mencari dan menyelamat di sungai dekat Felda Teloi Kanan.
Anggota bomba melaksanakan operasi mencari dan menyelamat di sungai dekat Felda Teloi Kanan.

Menceritakan kejadian, katanya, mereka baru pulang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Teloi Kanan dan pergi mandi di sungai kira-kira jam 1.45 petang sebelum bercadang ke sekolah semula untuk menyertai latihan bola sepak pada jam 4 petang.

“Kami mandi ramai-ramai, air cetek sahaja, tetapi tiba-tiba arus jadi kuat. Saya nampak hanya pergelangan tangan Aqil terkapai-kapai sebelum dia tenggelam,” katanya.

Seorang lagi rakan, Muhammad Akid Muhammad Fahmi, 12, berkata dia berulang kali memanggil nama Aqil dan cuba mencapai tangannya, namun gagal sebelum mangsa hanyut dibawa arus dalam sekelip mata.

Sejurus kejadian, mereka segera memaklumkan kepada keluarga masing-masing sebelum bantuan tiba.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dikhuatiri hilang ketika mandi di sungai Felda Teloi Kanan pada petang Ahad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!