[VIDEO] Mayat Muhammad Aqil ditemukan
BALING – Mayat kanak-kanak yang lemas di kawasan Felda Teloi Kanan di sini ditemui pada jam kira-kira 1.31 petang, Isnin, kira-kira 700 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintenden Ahmad Salimi Md Ali berkata, mangsa sebelum itu mandi bersama rakan-rakannya di sungai berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan maklumat saksi, mangsa, Muhammad Aqil Fitri Hishamudin, 12, dikatakan mandi bersama lapan rakan sebelum dipercayai hilang dari pandangan.

“Ketika kejadian, kesemua sembilan kanak-kanak telah turun mandi, tiba-tiba seorang daripadanya dibawa arus... ada saksi yang melihat kejadian tersebut.
“Bagaimanapun, setelah operasi dijalankan semalam dan hari ini, mangsa telah dijumpai lemas di sungai ini kira-kira 700 meter daripada tempat dia mandi,” katanya.
Jelasnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali berkata, mayat ditemukan dalam keadaan telangkup ke bawah.

“Kelajuan arus tidak terlalu deras dan kita percaya timbulnya mayat mangsa adalah hasil kaedah pengapungan yang dilakukan jurumudi bot bomba dengan teknik pusingan di permukaan air yang membantu menaikkan mangsa ke permukaan,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dikhuatiri hilang ketika mandi di sungai dekat Felda Teloi Kanan pada petang Ahad.
Operasi mencari dan menyelamat membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!