Polis siasat dakwaan vokalis kumpulan muzik 'skinhead' dipukul

JOHOR BAHRU - Polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang vokalis kumpulan muzik 'skinhead' dipukul sekumpulan individu dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di sini pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat susulan video tular di media sosial yang memaparkan kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 10.30 malam.
Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak termasuk saksi atau mangsa.

"Polis telah memulakan siasatan sebaik menerima maklumat kejadian (tular) ini pada malam tadi. Justeru, orang ramai diminta untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Terdahulu tular dua video yang memaparkan insiden tersebut di mana video pertama dalam tempoh 59 saat dan video kedua dalam 58 saat.
Hantaran tersebut mendakwa vokalis tersebut diserang dan dipukul sekumpulan lelaki, dengan beberapa keping gambar kesan kecederaan turut dikongsikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
