'Harris dah mula makan, bercakap seperti biasa'

SHAH ALAM - Selepas menjalani pembedahan jantung pada Khamis lalu, keadaan Muhamad Harris Rayyan Mohd Khusaimi, 7, kini menunjukkan perkembangan positif apabila sudah mula makan, minum dan bercakap seperti biasa.
Menurut bapanya, Mohd Khusaimi Mohamad, 45, anak lelakinya itu masih ditempatkan di wad separa kritikal dan belum dipindahkan ke wad biasa namun menunjukkan tindak balas yang sangat baik setakat ini.
“Alhamdulillah, semua baik-baik sahaja. Harris sudah boleh makan, minum dan bercakap. Cuma dari segi pergerakan masih perlahan.
“Tindak balas dia juga sudah mula menunjukkan perkembangan baik. Semalam (Sabtu) sempat dia buat permintaan teringin katanya hendak makan ayam goreng. Saya sudah belikan dan lihat dia berselera makan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Muhamad Harris Rayyan merupakan penerima pertama kempen Sinar Untuk Jantung Si Kecil, hasil kerjasama antara Sinar Harian dan Institut Jantung Negara (IJN) bagi membantu meringankan beban kewangan ibu bapa kanak-kanak pesakit jantung berusia 12 tahun ke bawah.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu menghidap simptom masalah jantung berlubang sejak bayi.
Dia menjalani pembedahan Ventricular Septal Defect Closure and Resection of Infundibular Stenosis dengan kos pembedahan sebanyak RM45,000.
Tabung pertama kempen tersebut sepatutnya dibuka selama tempoh 41 hari sehingga 4 Mei, namun ditutup lebih awal pada 30 April apabila berjaya memperoleh dana RM21,565.23 hasil sumbangan orang ramai secara terus ke akaun bank Sinar Harian.Sementara bakinya disalurkan oleh yayasan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan kerjasama IJN.
Mengulas lanjut Mohd Khusaimi berkata, dia masih belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada pihak hospital berkenaan tarikh anaknya akan dipindahkan ke wad biasa atau dibenarkan keluar hospital.
Bagaimanapun, katanya, melihat perkembangan positif anaknya itu sudah mencukupi selepas bertarung nyawa dalam pembedahan yang memakan masa hampir enam jam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

