Harris Rayyan kembali ceria, hadiah terbaik buat ibu

SHAH ALAM - Ibu kepada kanak-kanak pesakit jantung, Muhamad Harris Rayyan Mohd Khusaimi, 7, menyifatkan perkembangan anaknya yang semakin sembuh selepas menjalani pembedahan baru-baru ini sebagai hadiah terbaik buat dirinya.
Suri rumah, Suhaili Mamat, 42, berkata, beliau berasa sangat gembira dengan perkembangan tersebut, lebih-lebih lagi apabila keadaan Muhamad Harris Rayyan dilihat kembali aktif dan ceria seperti sediakala.
Menurutnya, jika tiada sebarang masalah, anak bongsunya itu dijangka dibenarkan keluar dari hospital dalam dua hari lagi.
“Pada awalnya, sebaik keluar dari bilik pembedahan, dia (Muhamad Harris Rayyan) diam sepanjang masa.
“Alhamdulillah, sejak Ahad, dia dilihat semakin aktif berjalan dan kerap bercerita. Jadi, saya sangat lega melihat keadaannya.
“Melihat dia kembali pulih seperti sediakala, itu memang satu hadiah terbaik untuk saya,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Muhamad Harris Rayyan merupakan penerima pertama kempen Sinar Untuk Jantung Si Kecil, hasil kerjasama antara Sinar Harian dan Institut Jantung Negara (IJN), yang bertujuan membantu meringankan beban kewangan ibu bapa kanak-kanak pesakit jantung berusia 12 tahun ke bawah.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu telah menghidap simptom masalah jantung berlubang sejak bayi.
Menurut Suhaili yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan, Muhamad Harris Rayyan masih perlu menjalani beberapa pemeriksaan di hospital sebelum diberikan kebenaran untuk pulang ke rumah.
“Setakat ini, doktor maklumkan kemungkinan dia (Muhamad Harris Rayyan) dibenarkan keluar wad sekitar dua hari lagi.
“Cuma perlu dipantau dari segi mandi, makanan, dan aktiviti. Contohnya, dia tidak boleh bermain terlalu lasak dan tidak boleh tidur meniarap,” jelasnya.
Suhaili turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu dan memberikan sokongan kepada keluarganya.
“Saya berterima kasih kepada Sinar Harian yang membantu kami sekeluarga, untuk Muhamad Harris Rayyan.
“Tidak lupa juga kepada mereka yang mendoakan dan menderma. Saya amat menghargainya. Semoga segala urusan mereka juga dipermudahkan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!