21 maut, 35 cedera bas terjunam dalam gaung

Bas membawa 75 penumpang dari tempat suci Kataragama di selatan menuju ke bandar Kurunegala di barat laut itu terjunam sejauh 100 meter dari tebing. Foto AFP
Bas membawa 75 penumpang dari tempat suci Kataragama di selatan menuju ke bandar Kurunegala di barat laut itu terjunam sejauh 100 meter dari tebing. Foto AFP
A
A
A

ANKARA - Sekurang-kurangnya 21 orang maut dan lebih 35 lagi cedera apabila sebuah bas penumpang terjunam ke dalam gaung di Wilayah Tengah Sri Lanka pada Ahad, menurut laporan media tempatan.

Memetik akhbar Daily Mirror, Anadolu Ajansi melaporkan bahawa lebih 35 penumpang yang cedera dalam nahas sedang dirawat di beberapa hospital di kawasan berkenaan, menurut pihak polis tempatan.

Menurut polis, bas tersebut membawa 75 penumpang dari tempat suci Kataragama di selatan menuju ke bandar Kurunegala di barat laut apabila ia terjunam sejauh 100 meter dari tebing, lapor Free Press Journal.

Siasatan mengenai punca nahas sedang dijalankan, menurut kenyataan polis.

Nahas jalan raya kerap berlaku di negara kepulauan Asia Selatan itu, dan data rasmi menunjukkan bas antara kenderaan yang sering terbabit dalam kemalangan.

Menurut statistik polis, hampir 600 rakyat Sri Lanka telah maut dalam 565 nahas jalan raya maut setakat tahun ini.

Sementara itu, menurut data kerajaan yang dipetik oleh Newswire, seorang rakyat Sri Lanka maut akibat nahas jalan raya setiap tiga jam. - Bernama-Anadolu

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!