MB Selangor diminta batal keputusan tamat perkhidmatan ahli Bersatu

Kenyataan media Konsensus meminta kerajaan negeri membatalkan keputusan berhubung pemberhentian perkhidmatan pemimpin dan ahli Bersatu di Selangor.
Kenyataan media Konsensus meminta kerajaan negeri membatalkan keputusan berhubung pemberhentian perkhidmatan pemimpin dan ahli Bersatu di Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bertindak Konsensus Nasional (Konsensus) meminta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membatalkan keputusan menamatkan perkhidmatan anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam semua jawatan di bawah kerajaan negeri.

Pengerusinya, Datuk Dr Mohd Radzi Abd Latif berkata, keputusan itu perlu dibuat atas dasar kemanusiaan dan merit.

Menurutnya, latar belakang politik tidak wajar dijadikan kayu ukur untuk menamatkan perkhidmatan ahli Bersatu sebagai Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan, Majlis Permuafakatan Ketua Kampung (MPKK) atau Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

"Kegigihan dan keikhlasan mereka berkhidmat di peringkat akar umbi dengan berjiwa rakyat perlu diambil kira.

"Mereka telah mengabdikan diri untuk pembangunan kampung dan kebajikan rakyat dengan penuh jujur dan ikhlas.

"Justeru itu, budi dan jasa serta pengorbanan mereka itu perlu diambil kira dan dikenang. Adalah tidak wajar keputusan politik dibuat untuk menghukum mereka yang amat berjasa kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pimpinan Pakatan Harapan (PH) Selangor digesa memberi peluang kepada ahli Bersatu yang digugurkan itu meneruskan khidmat secara pro-rakyat dan dedikasi.

Semalam, Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor mengumumkan bahawa Bersatu bukan lagi sebahagian daripada komponen gabungan PH di negeri itu dan semua jawatan pimpinan akan dilucutkan secara berperingkat.

Artikel Berkaitan:

Malah, peruntukan kepada lima ADUN Bersatu dan dua wakil Bebas turut dibekukan susulan perkembangan itu.