X

Kindly register in order to view this article
!

Dakwa Perikatan Nasional tiada struktur asas perlembagaan

Muhyiddin. - Foto: Bernama
A
A

SHAH ALAM – Perikatan Nasional dilihat sebagai satu gabungan yang tidak mempunyai struktur asas perlembagaan hingga mengakibatkan kesemua kerajaan negeri jatuh kepada Barisan Nasional (BN) dan Menteri Besar juga dilantik dalam kalangan parti itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tariq Ismail Mustafa berkata, gabungan Perikatan Nasional hanya satu bayangan kerana ia tertubuh berdasarkan emosi semata-mata dan bukannya atas sebab objektif dan mulia.

“Sememangnya Perikatan Nasional adalah satu gabungan tidak mempunyai sebarang struktur atau perjanjian asas. Sebagai contoh, sewaktu Mesyuarat MPT Khas pada 23 dan 24 Februari lalu ada beberapa soalan dibentang seperti apa kesannya penggabungan negeri ditadbir Bersatu?

“Nah, lihat natijahnya apabila tiada struktur asas perlembagaan. Kini semua kerajaan negeri jatuh kepada BN dan Menteri Besar dilantik dari kalangan wakil BN,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tariq Ismail berkata, Perikatan Nasional lahir hasil pergolakan emosi yang tidak terkawal dan lambat laun pastinya akan menimbulkan perasaan syak wasangka dalam kalangan ahlinya kerana di sebalik tabir, landasan politik Melayu sebenarnya berpecah kepada pelbagai ideologi dan falsafah.

“Sampai hati Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin merestui gabungan Bersatu dan UMNO yang dianggap tindakan yang menggadai maruah bangsa seterusnya menyesatkan lagi bangsa Melayu!” katanya.

Justeru, dia meminta agar Muhyiddin mengingat kembali dan akur dengan keputusan yang dicapai pada mesyuarat khas MPT pada 23 Februari lalu yang menyaksikan MPT bersetuju dengan usul untuk keluar daripada PH untuk bergabung bersama Muafakat Nasional seterusnya menyerahkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menilai dan mempertimbangkan dengan teliti usul tersebut.

Bagaimanapun, Tariq Ismail tidak menafikan gabungan satu perikatan gergasi khusus untuk bangsa Melayu mungkin dapat menyelesaikan kemelut politik bangsa untuk jangka masa terdekat sekarang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus