SPRM bentang hasil siasatan tatakelola HRD Corp kepada KESUMA

Pasukan SPRM bersama KESUMA dan HRD CORP bagi Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola.
Pasukan SPRM bersama KESUMA dan HRD CORP bagi Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) telah membentangkan hasil siasatan berhubung amalan, sistem dan tatacara kerja Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), khususnya melibatkan pengurusan levi dan pelaburan badan itu.

Siasatan tersebut dijalankan susulan dapatan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 serta merupakan kesinambungan daripada isu yang melibatkan HRD Corp sebelum ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, pembentangan tersebut adalah sebahagian daripada usaha runding nasihat kepada ketua agensi awam dan swasta bagi memperkukuhkan tatakelola organisasi masing-masing.

“Penyiasatan ini bertujuan menutup ruang dan peluang kepada sebarang risiko serta jenayah rasuah, selaras dengan Seksyen 7(c), (d) dan (e), Akta SPRM 2009.

“Ia bukan sahaja mencadangkan penambahbaikan, malah membantu agensi terlibat mengenal pasti kelemahan dalam sistem dan tatacara pengurusan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sesi pembentangan itu berlangsung di Kompleks Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), di sini pada 23 April lalu.

Mengulas lanjut, beliau berharap pihak KESUMA dan HRD Corp memberi komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan penambahbaikan yang dicadangkan demi memastikan sistem tatakelola yang lebih baik dan mampan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA, Sutekno Ahmad Belon berkata, kementeriannya menyambut baik dapatan yang dikemukakan dan komited untuk menyelaras tindakan susulan secara berterusan.

“Prinsip tadbir urus baik, ketelusan dan integriti sentiasa menjadi keutamaan. Oleh itu, KESUMA akan terus menyokong HRD Corp dalam merangka dan melaksanakan pelan tindakan penambahbaikan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, laporan penuh siasatan dan cadangan penambahbaikan tatakelola telah dibentangkan oleh Timbalan Pengarah II BPT SPRM, Ahmad Shukri Mohamad Taib.

Turut diadakan sesi menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang melibatkan Datuk Azmi; Sutekno serta Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!