X

Kindly register in order to view this article
!

Abang Johari nafi jumpa PM semalam bincang Kabinet

Abang Johari
A
A

KUCHING - Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini menafikan ada membuat pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bagi membincangkan perkara berhubung Kabinet Persekutuan baharu yang akan dibentuk.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sarawak dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada sudah ada keputusan berhubung penyertaan GPS dalam Kabinet itu dengan meminta pemberita untuk menunggu sehingga esok.

“Tunggulah besok, saya ada mesyuarat PBB (esok),” katanya kepada media merujuk kepada Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu yang akan diadakan di ibu pejabat mereka di Jalan Bako di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kabinet Persekutuan: GPS serah kepada Abang Johari

Selasa lepas beliau berkata, isu mengenai GPS menjadi sebahagian daripada Kabinet Persekutuan adalah kurang penting berbanding kepentingan negara yang menjadi keutamaan dan beliau memerlukan masa untuk memutuskan sama ada GPS akan menerima atau menolak sebarang jawatan dalam kerajaan Persekutuan itu.

“Biar saya lihat dahulu, mengandaikan ada jemputan (untuk GPS menyertai Kabinet) tidak berapa penting, keutamaannya adalah soal negara,” katanya.

Dalam satu kenyataan Isnin lepas, Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kepimpinan gabungan itu menyerahkan mandat sepenuhnya kepada Abang Johari untuk membuat keputusan mengenai gabungan itu menyertai Kabinet Persekutuan pimpinan Muhyiddin.

Fadillah Yusof berkata, perkara itu telah diputuskan dalam satu mesyuarat di antara kepimpinan tertinggi gabungan berkenaan dan semua ahli Parlimen mereka di Kuala Lumpur pada 1 Mac.

Cakap-cakap mengenai kemungkinan kemasukan wakil-wakil GPS dalam Kabinet baharu itu timbul setelah mereka menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan selepas seminggu negara menghadapi kemelut kepemimpinan politik.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Ahad lepas. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!