Gantung: Musketeer Code bongkar kematian misteri
Daripada adaptasi siri ke layar lebar

DRAMA bersiri Gantung The Series yang ditayangkan di kaca televisyen sekitar tahun 2018 pernah mendapat perhatian penonton di Malaysia dan Indonesia.
Selepas tujuh tahun akhirnya siri yang diadaptasi daripada novel judul sama itu telah diangkat ke layar perak dengan menggunakan tajuk Gantung: Musketeer Code terbitan Neddo Works.

Penulis novel berkenaan, Nadia Khan bertindak selaku penerbit dan pengarah berkata, dia mengambil keputusan untuk menerbitkan Gantung ke layar perak atas sokongan peminat novel berkenaan.
“Filem Gantung: Musketeer Code direalisasikan atas sokongan peminat-peminat novel Gantung yang sangat menginginkan kisah daripada novel pertama ditamatkan dengan sempurna.
“Kami di Neddo Works ketika itu sebenarnya berasa sangat terharu, sebuah karya novel kontemporari seperti ini benar-benar mahu diangkat ke layar perak seolah-olah ia mewakili suara anak-anak muda,” jelasnya.
Untuk mengusahakan projek filem berkenaan, Nadia memberitahu, mereka memulakan usaha crowdfunding pada Januari 2020 dan mendapat sambutan yang memberangsangkan di mana sejumlah RM200,000 berjaya dikumpul melalui penjualan buku, kemeja T dan cenderamata.
Bagaimanapun, ujarnya, akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, pembikinan filem berkenaan terpaksa dihentikan buat seketika.
“Namun begitu, kami tetap berusaha untuk meneruskannya kerana kami anggap ini sebagai amanah daripada peminat yang tetap setia menunggu walaupun tergendala untuk sekian lama.
“Akhirnya, setelah menempuh pelbagai dugaan, filem Gantung: Musketeer Code berjaya menjalani proses penggambaran pada bulan Disember 2023 sehingga Januari 2024,” jelasnya.

Gantung: Musketeer Code menceritakan kisah empat orang sahabat baik dituduh menjadi punca kematian seorang pelajar perempuan yang telah menggantung diri di auditorium sekolah.
Filem ini menampilkan Ikmal Amry, Ben Amir, Hafreez Adam, Brandon Salim (dari Indonesia) dan Shazia Rozaini sebagai watak-watak utama dan turut dibantu oleh Gita Sucia (juga dari Indonesia), Taufiq Hanafi serta Nelissa Nizam.
Selain itu, pelakon-pelakon berpengalaman seperti Bront Palarae dan Sofia Jane turut terlibat dalam penghasilan filem ini.
Jelasnya, biarpun membariskan ramai pelakon asal, namun watak Gibbs dan Farah yang sebelum ini dilakonkan Randy Pangalila dan Mentari de Marelle telah digantikan dengan Ben Amir dan Shazia Rozaini.
Bercerita lebih lanjut mengenai filem berkenaan, Nadia menjelaskan bahawa filem Gantung: Musketeer Code masih boleh ditonton oleh mereka yang tidak mengikuti siri televisyen sebelum ini.
“Filem ini berdiri dengan sendiri kerana ia hasil adaptasi daripada novel pertama.
“Bagi yang tak menonton siri TV, masih boleh menonton filem ini tanpa apa-apa kekeliruan kerana filem ini dibuat untuk berdiri dengan sendiri,” ujarnya.
Filem Gantung: Musketeer Code akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 5 Jun depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!