SPRM tekankan integriti dalam sektor pelancongan

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menekankan kepentingan integriti dalam sektor pelancongan dengan pelaksanaan langkah penyelesaian.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pihaknya juga memperincikan cabaran dan langkah penyelesaian yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Malaysia.
"Ini termasuk pelaksanaan sistem pendaftaran pelancong atas talian, penggunaan sistem pengurusan pekerja asing berpusat, pemasangan pagar automatik (autogate) di lapangan terbang serta pengenalan Dasar Pelancongan Negara dan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS)," katanya semaca berucap di Forum on Integrity 2025 di Maldives baru-baru ini.
Beliau turut menyentuh isu-isu kritikal seperti penyalahgunaan visa pelancong untuk tujuan pemerdagangan manusia, penipuan dalam perkhidmatan pelancongan atas talian, pemberian rasuah dalam proses kelulusan visa serta kerjasama tidak sah antara ejen pelancongan dan penguat kuasa.
Sebelum itu, SRM terus memperkukuhkan komitmen dalam memperjuangkan integriti dan tadbir urus baik di peringkat global apabila mengetuai delegasi Malaysia ke Saudi-Maldives International Forum on Integrity 2025 yang berlangsung pada 6 dan 7 Mei 2025 di Maldives.
Delegasi Malaysia diketuai Ahmad Khusairi bersama wakil daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Forum yang bertemakan 'Strengthening Integrity and Combating Corruption in the Tourism Sector' ini merupakan inisiatif sulung seumpamanya di peringkat antarabangsa dan telah disertai lebih 190 delegasi daripada lebih 50 buah negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), termasuk wakil kerajaan, sektor swasta, pertubuhan antarabangsa dan masyarakat sivil.
Selain itu, delegasi SPRM turut mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan agensi penguat kuasa undang-undang dan pertubuhan antirasuah antarabangsa seperti Special Investigating Unit (SIU) of South Africa, Anti-Corruption Directorate with the Prosecutor General of the Republic of Azerbaijan dan Anti-Corruption Commission (ACC) of the Republic of Maldives.
"Pertemuan ini membuka ruang untuk memperkukuhkan kerjasama strategik rentas sempadan khususnya berkaitan perkongsian maklumat, pengalaman siasatan dan peluang kerjasama teknikal dalam bidang pencegahan serta penguatkuasaan antirasuah," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
