'Demi maruah Indonesia akan hentikan import minyak dari Singapura'

JAKARTA – Menteri Tenaga dan Sumber Daya Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia mengumumkan bahawa negara itu akan menghentikan import bahan bakar minyak (BBM) dari Singapura dalam tempoh enam bulan akan datang dan beralih kepada negara-negara Asia Barat yang merupakan pengeluar utama minyak dunia.
Perkara itu diumumkan Bahlil dalam satu sesi diskusi bertajuk Arah Kebijakan Geostrategi dan Geopolitik Indonesia yang dianjurkan oleh Parti Golkar di Jakarta, pada Khamis.
Bahlil yang juga Ketua Umum Parti Golkar berkata, Indonesia selama ini banyak bergantung kepada Singapura dalam urusan import BBM, meskipun negara itu bukanlah pengeluar minyak.
“Minyak dan BBM kita, kita import dari mana? 54 peratus daripada keseluruhan import BBM datangnya dari Singapura – sebuah negara yang langsung tidak mempunyai sumber minyak. Tapi kita tetap beli dari sana,” katanya dengan nada kesal.
Menurutnya, harga minyak yang diimport dari Singapura tidak jauh berbeza dengan harga dari Asia Barat, justeru tindakan tersebut disifatkannya sebagai satu strategi yang memalukan.
“Bayangkan, 34 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport BBM Singapura adalah untuk pasaran Indonesia. Harga yang mereka tawarkan pula setanding dengan negara-negara Asia Barat. Ini strategi yang memalukan,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Bahlil menegaskan pihaknya akan menukar dasar import negara dengan mula mendapatkan bekalan terus dari negara-negara pengeluar minyak seperti di Asia Barat demi menjaga maruah negara.
“Saya sudah buat keputusan, dalam masa enam bulan, kita tidak akan lagi import minyak dari Singapura. Kita akan import terus dari Asia Barat.
“Lebih bermaruah jika kita dapat minyak dari negara pengeluar seperti Asia Barat, daripada terus membeli dari negara yang tidak pernah melahirkan setitis pun minyak mentah,” katanya.
Langkah ini, menurut beliau, adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Indonesia untuk menstruktur semula strategi tenaga nasional bagi menjamin kelestarian, maruah dan kedudukan strategik negara dalam landskap geopolitik serantau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!