Pesara rugi RM102,000 terpedaya pelaburan tidak wujud

Mangsa berusia 63 tahun yang juga pesara syarikat swasta itu dikatakan tertarik untuk melabur selepas dijanjikan pulangan lumayan antara 10 hingga 20 peratus dalam tempoh tiga hari.
Mangsa berusia 63 tahun yang juga pesara syarikat swasta itu dikatakan tertarik untuk melabur selepas dijanjikan pulangan lumayan antara 10 hingga 20 peratus dalam tempoh tiga hari.
A
A
A

KULAI – Seorang wanita warga emas kerugian RM102,000 dipercayai selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan tidak wujud yang dijalankan melalui aplikasi dikenali sebagai Philip Global Wraps Account (PGWA).

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mangsa berusia 63 tahun yang juga pesara syarikat swasta itu dikatakan tertarik untuk melabur selepas dijanjikan pulangan lumayan antara 10 hingga 20 peratus dalam tempoh tiga hari.

"Wanita berkenaan membuat lapan transaksi pembayaran berjumlah RM102,000 ke dalam akaun bank tempatan bermula 19 Mac hingga 23 April lalu.

“Selepas membuat pembayaran, mangsa menyemak akaun aplikasi tersebut dan mendapati jumlah keuntungan yang dipaparkan mencecah RM170,000.

“Bagaimanapun selepas mangsa cuba untuk membuat pengeluaran, dia diminta membuat pelaburan tambahan sebanyak RM40,000,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, mangsa mula mengesyaki telah ditipu selepas gagal mengeluarkan wang pelaburannya dan tampil membuat laporan polis pada Khamis.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu melalui pelaburan tidak wujud yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun, sebat serta denda jika disabitkan kesalahan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.

“Orang ramai juga digalakkan menggunakan perkhidmatan atas talian yang disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil seperti National Scam Response Centre (NSRC), CCID Infoline, Semak Mule serta mendapatkan maklumat terkini melalui laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!