Dengar suara ghaib, bapa pukul anak guna kayu besbol hingga maut

Lelaki itu mengaku membunuh anak lelakinya kerana mendakwa remaja itu bersikap biadab dan sering menghamburkan kata-kata kesat terhadapnya.
Lelaki itu mengaku membunuh anak lelakinya kerana mendakwa remaja itu bersikap biadab dan sering menghamburkan kata-kata kesat terhadapnya.
A
A
A

CONNECTICUT – Seorang lelaki berusia 52 tahun didakwa atas pertuduhan membunuh dan cubaan membunuh selepas menyerang dua anaknya dalam satu insiden tragik di kediamannya di Hemlock Road, Khamis lalu.

Tertuduh, Anthony Andrew Esposito Jr., didakwa memukul anak lelakinya, Anthony P Esposito, 12, hingga maut menggunakan kayu besbol dan cuba membunuh anak perempuannya yang berusia 16 tahun.

Dalam perbicaraan pada 2 Mei lalu, pendakwa raya mendedahkan bahawa Esposito mengaku membunuh anak lelakinya kerana mendakwa remaja itu bersikap biadab dan sering menghamburkan kata-kata kesat terhadapnya.

Dia turut mendakwa mendengar suara ghaib termasuk suara ibu bapanya yang didakwa pernah menderanya semasa kecil.

Esposito. Sumber gambar daripada Facebook milik Jabatan Polis Branford.
Esposito. Sumber gambar daripada Facebook milik Jabatan Polis Branford.

Menurut Esposito, suara-suara itu memintanya untuk menghukum anak lelakinya kerana kelakuan remaja tersebut pada 1 Mei lalu, selain turut mendengar perkataan kayu besbol.

Susulan kejadian tersebut, dia mengambil anak perempuannya dari perhentian bas sekolah dan membawanya pulang ke rumah.

Ketika tiba di rumah, dia memberitahu anak perempuannya bahawa abangnya berada di ruang bawah tanah.

Artikel Berkaitan:

Sebaik menghampiri tangga, Esposito menolaknya ke bawah dengan niat membunuh menggunakan kayu besbol yang sama, namun remaja perempuan itu berjaya melarikan diri.

Menurut laporan People.com, polis menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita yang percaya satu pembunuhan telah berlaku di kondominium milik Esposito.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, pihak berkuasa menemui mangsa lelaki berusia 12 tahun dalam keadaan parah akibat kecederaan di kepala di ruang bawah tanah dan dia disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Esposito kemudian melarikan diri dengan kenderaan Chrysler Pacifica berwarna perak sebelum berjaya ditahan dalam satu sekatan jalan raya oleh Polis Negeri Connecticut.

Peguam bela memaklumkan mahkamah bahawa Esposito mempunyai sejarah masalah kesihatan mental sejak kecil termasuk pernah dimasukkan ke hospital psikiatri serta mengalami gangguan halusinasi bunyi.

Hakim yang mendengar kes berkenaan memaklumkan bahawa tertuduh berdepan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol berikutan pertuduhan yang dihadapinya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!