Nampak garang tapi dalam hati ada 'taman'

SHAH ALAM – Seorang peniaga bunga mencuri perhatian ramai apabila perkongsian video mengenai dirinya menjadi tular di media sosial.
Lebih mencuit hati apabila ada yang menyangka dia seorang pemandu lori tunda selain wajahnya dikatakan serupa dengan seorang bayi perempuan yang tular susulan 'hiking' bersama bapanya.
Walaupun dikenali dengan raut wajah garang dan tegas, Mohd Khairul Azhar Mohd Nasir, 30an, tidak kekok berkongsi mengenai kariernya sekali gus menonjolkan sisi positif dan inspirasi kepada orang ramai.
Mula menceburi perniagaan gubahan bunga secara serius pada awal tahun 2025 di Kotajail, Johor Bahru sehingga kini, dia mengakui ramai skeptikal dengan kemampuannya membuat gubahan bunga pada awalnya.
"Sebelum ini saya pernah membuat bunga tangan untuk perkahwinan beberapa rakan dan juga adik saya sendiri.
"Jadi, apabila salah seorang kawan saya membuka perniagaan bunga, dia ajak saya sekali untuk sama-sama terlibat. Segalanya bermula secara tidak dirancang,"katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Mohd Khairul Azhar menjelaskan kesemua video yang dihasilkannya adalah secara spontan termasuk perkongsian warna kegemarannya iaitu merah jambu namun tidak menyangka ramai yang memberi ulasan mengenai raut wajahnya sehingga tular.
"Disebabkan raut wajah saya yang ‘garang’ orang selalu tersalah anggap saya ini ganas dan kurang peramah," katanya.
Mengulas mengenai video tular tersebut, Mohd Khairul Azhar tidak menyangka sambutan yang diterimanya.
“Sehari selepas saya memuat naik video tersebut, saya bercuti selama tiga hari.
"Sekembalinya saya ke kedai, rakan niaga beritahu bahawa ramai pelanggan cari saya disebabkan video berkenaan," katanya.
Tambahnya, keadaan itu berlarutan selama lebih dua minggu dan memberi impak yang baik terhadap perniagaannya.
“Positifnya, lebih ramai pelanggan lelaki yang sebelum ini malu untuk membeli bunga datang ke kedai tanpa rasa segan.
"Selain itu, saya ingin sampaikan mesej yang bunga juga adalah salah satu cara untuk kita luahkan rasa kasih dan cinta untuk tersayang.
"Begitu juga untuk lelaki, jangan segan atau malu untuk membeli bunga walau untuk diri sendiri,” katanya yang membuktikan bahawa kelembutan bukan hanya pada rupa, tetapi pada tindakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
