Ekonomi Indonesia menyusut, bilangan penganggur meningkat

JAKARTA – Pertumbuhan ekonomi Indonesia bagi suku pertama tahun 2025 mencatatkan penyusutan kepada 4.87 peratus, berbanding 5.11 peratus dalam tempoh sama tahun sebelumnya, menurut laporan Badan Pusat Statistik (BPS).
Ketua BPS, Amalia Adininggar Widyasanti berkata, walaupun ekonomi negara kekal berkembang, prestasinya lebih perlahan berikutan tekanan ekonomi global yang berpanjangan.
“Pertumbuhan ini masih ditunjang oleh sektor pertanian yang mencatat pertumbuhan dua digit, industri makanan dan minuman yang kekal kukuh, serta sektor pengangkutan. Faktor perayaan Ramadan dan Aidilfitri turut menyumbang kepada peningkatan aktiviti ekonomi,” katanya pada sidang akhbar di Jakarta baru-baru ini.
Menurutnya, beberapa negara rakan dagang utama juga mengalami tekanan ekonomi — Amerika Syarikat berkembang 2.0 peratus, Jepun 1.8 peratus, Singapura 3.8 peratus, manakala Korea Selatan mencatatkan penyusutan sebanyak 0.1 peratus.
Dari segi perbelanjaan, eksport barangan dan perkhidmatan mencatat pertumbuhan kukuh 6.78 peratus, didorong oleh peningkatan permintaan terhadap komoditi bukan minyak dan gas seperti lemak dan minyak haiwan/nabati, besi dan keluli, jentera elektrik, serta kenderaan dan alat gantinya. Kemasukan pelancong asing turut menyumbang kepada peningkatan eksport perkhidmatan.
Bagaimanapun, perbelanjaan kerajaan merosot sebanyak 1.38 peratus, kesan daripada normalisasi bajet selepas perbelanjaan besar-besaran untuk pilihan raya pada suku pertama tahun lalu. Pelaburan tetap kasar atau pembentukan modal tetap kasar (PMTK) pula mencatat pertumbuhan sederhana 2.12 peratus, didorong ketidaktentuan ekonomi global.
Dalam aspek tenaga kerja, Amalia memaklumkan kadar pengangguran terbuka (TPT) (individu yang aktif mencari kerja tetapi masih belum mendapat pekerjaan) menurun sedikit kepada 4.76 peratus pada Februari 2025 berbanding 4.82 peratus pada Februari 2024. Namun secara mutlak, bilangan penganggur meningkat daripada 7.20 juta kepada 7.28 juta orang, bersamaan penambahan 80,000 orang.
Fenomena ini berlaku apabila pertambahan tenaga kerja baharu lebih pantas berbanding peluang pekerjaan yang diwujudkan.
Pada masa sama, kadar pekerja tidak formal juga meningkat daripada 59.17 peratus kepada 59.40 peratus dalam tempoh setahun.
Tambah Amalia, dalam tempoh 12 bulan terakhir, lebih 3.59 juta orang menyertai pasaran kerja. Tiga sektor utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah pekerja ialah perdagangan (980,000 orang), pertanian (890,000 orang) dan perkilangan (720,000 orang). - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
