6 maut, helikopter terhempas di India

DEHRADUN – Enam individu disahkan maut termasuk juruterbang selepas sebuah helikopter yang membawa jemaah Char Dham terhempas berhampiran kawasan Gangnani di daerah Uttarkashi, negeri Uttarakhand, pagi Khamis.
Helikopter berkenaan yang dikendalikan oleh syarikat Aero Trans Service Pvt Ltd dalam perjalanan dari Dehradun ke Kharsali, dekat Yamunotri sebelum terhempas kira-kira 200 hingga 250 meter ke dalam gaung.
Juruterbang, Kapten Robin Singh turut terbunuh dalam nahas itu manakala seorang penumpang yang cedera parah telah diterbangkan ke Institut Sains Perubatan India (AIIMS) di Rishikesh bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut laporan awal, empat mangsa merupakan warga Mumbai manakala dua lagi berasal dari Andhra Pradesh. Identiti mangsa lain masih belum didedahkan oleh pihak berkuasa.
Pihak berkuasa penerbangan dan keselamatan tempatan telah dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut punca nahas.
Char Dham merujuk kepada empat lokasi ziarah suci dalam agama Hindu yang terletak di kawasan pergunungan Himalaya dan sering dikunjungi ribuan jemaah setiap tahun, terutamanya semasa musim ibadah yang bermula sekitar musim bunga.
Pihak berkuasa tempatan menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan dan menunggu pengumuman rasmi berkaitan perkembangan lanjut insiden tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

