Lapan suspek naik lima kereta disyaki larikan Pamela - Polis

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai lapan suspek dipercayai terbabit dalam kejadian melarikan Datin Seri Pamela Ling Yueh, berhampiran Ibu Pejabat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada 9 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kesemua lapan suspek itu dikesan berdasarkan lima buah kenderaan yang dinaiki.
"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiga suspek yang keluar dari kenderaan untuk melarikan Pamela dari kereta e-hailing yang dinaikinya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Khamis.
Rusdi berkata, sebelum ini pihaknya telah mendedahkan pembabitan tiga kenderaan yang bertindak menghalang kereta e-hailing yang dinaiki Pamela.
"Berdasarkan siasatan tiga jenis kereta yang dikesan telah melakukan halangan ialah Toyota Camry, Nissan Almera dan Nissa Teana, manakala dua lagi kereta yang dikesan berada di bahagian paling hadapan dan belakang.
"Kita percaya peranan dua lagi kenderaan itu adalah memastikan situasi untuk 'melancarkan' tindakan mereka melarikan Pamela," katanya.
Rusdi berkata, setakat ini polis menganggarkan sekurang-kurangnya lapan individu terbabit dalam kejadian melarikan Pamela.
"Mungkin paling kurang lapan atau lebih dari lapan individu yang terbabit dalam kes ini," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Rusdi mengesahkan tiada sebarang operasi atau serbuan direkodkan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar kawasan Putrajaya, pada hari Pamela dilaporkan dilarikan di Putrajaya.
"Perkara ini sekali gus menepis dakwaan yang dua daripada tiga suspek yang dikesan melarikan Pamela memakai ves dan pakaian seragam menyerupai pakaian pegawai polis.
"Saya sahkan PDRM tidak melakukan operasi atau serbuan dan suspek yang terbabit melarikan Pamela disyaki adalah individu yang menyamar sebagai polis," katanya.
Beliau berkata, semakan polis mendapati semua suspek yang menaiki lima kenderaan berbeza melarikan diri keluar dari Putrajaya melalui dua laluan berbeza.
"Namun pada masa ini, siasatan masih dijalankan dan pihak polis masih menyelusuri semua laluan kemungkinan yang dilalui suspek berdasarkan rakaman CCTV," katanya.
Mengulas lanjut, Rusdi tidak menolak kemungkinan Pamela masih berada dalam negara ini berdasarkan rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
"Kalau dilihat pada rekod JIM, Pamela masih berada dalam negara ini, namun sekiranya wanita itu berada di luar negara, dia mungkin dibawa keluar menerusi laluan haram atau lorong tikus.
"Polis juga pada masa ini menggunakan segala aset yang ada dalam usaha menjejaki mangsa dan suspek, selain itu, kita turut bekerjasama dengan agensi penguat kuasa berkaitan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
