KPDN Kelantan sita lima kereta, rampas 420 liter petrol

TANAH MERAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyita lima buah kereta dan merampas 420 liter petrol bersubsidi dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di Taman Guru, Bukit Bunga di sini pada Rabu.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua kenderaan bernombor pendaftaran tempatan itu telah diubah suai pada bahagian tangki minyak.
"Kita menemui sejumlah 420 liter petrol bersubsidi bernilai RM54,000 yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran.
"Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dilakukan kerana tiada individu hadir menuntut kenderaan ditinggalkan di tepi rumah itu dalam keadaan mencurigakan," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan semua barang rampasan telah diserahkan kepada KPDN Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
Rampasan yang dilakukan pada jam 9 pagi itu dilakukan bersama Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

