Cubaan seludup 125,000 liter diesel gagal, tiga lelaki dicekup di Bukit Kayu Hitam

KUBANG PASU – Cubaan tiga lelaki untuk memindahkan 125,000 liter minyak diesel secara tidak sah di Bukit Kayu Hitam gagal apabila mereka dicekup dalam operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 1 (PPM W1) Kuala Kedah, pada pagi Rabu.
Komander PPM W1, Asisten Komisioner Rusley Che Ari, berkata, operasi dijalankan berdasarkan maklumat awam, sebelum sepasukan pegawai dan anggota bertindak menahan suspek sekitar jam 9.30 pagi.
Menurutnya, kesemua suspek terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan serta dua lelaki warga Thailand, berusia antara 39 hingga 51 tahun.
“Mereka didapati sedang melakukan pemindahan minyak diesel dari skid tank ke kenderaan berdaftar Thailand secara tidak sah, di sebuah premis dalam kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai dokumen sah berkaitan aktiviti tersebut, sekali gus membawa kepada rampasan minyak diesel serta barangan lain.
"Dalam operasi ini, pihak berkuasa berjaya merampas 125,000 liter minyak diesel, dua unit kenderaan pacuan empat roda berdaftar di Thailand, tujuh unit skid tank, satu unit pam minyak bermeter yang rampasan keseluruhan bernilai dianggarkan RM801,750," ujarnya.
Rusley memaklumkan bahawa kesemua suspek serta barangan rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kubang Pasu untuk siasatan lanjut.
“Mereka akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang mengawal pengedaran dan pemindahan bahan api serta bekalan penting,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

