Pelancong nyaris maut jatuh gunung gara-gara elak sesak

BEIJING - Sepasang pelancong berdepan detik cemas apabila nyaris maut selepas memanjat penghadang keselamatan di kawasan Gunung Tai, wilayah Shandong, China semata-mata untuk mengelak kesesakan orang ramai.
Memetik Guizhou Broadcasting di platform Weibo, kejadian yang berlaku pada Ahad itu, dirakam oleh pengunjung lain dan tular serta mendapat perhatian media tempatan.
Pasangan terbabit dikatakan berasa kecewa dengan jumlah pelawat yang terlalu ramai sebelum cuba mengambil jalan pintas berbahaya dengan menuruni tebing curam.
Susulan itu, rakaman tular menunjukkan, lelaki tersebut memanjat penghadang terlebih dahulu dan cuba membantu wanita yang mengikutinya dari belakang.
Namun, ketika cuba menarik wanita itu turun, lelaki berkenaan gagal menampung berat badan pasangannya lalu tergelincir dan jatuh ke dalam celah sempit antara dua batu besar, menyebabkan wanita tersebut turut terjatuh.
Bagaimanapun, nasib menyebelahi mereka apabila tubuh lelaki itu tersekat di antara batu, sekali gus menghalangnya daripada terjatuh.
Dalam masa sama, wanita tersebut juga berjaya diselamatkan apabila pasangannya sempat memegang kakinya, sekali gus mengelakkan insiden yang berkemungkinan meragut nyawa.
Menurut saksi, kedua-duanya dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan meninggalkan kawasan pelancongan itu tanpa insiden lanjut.
Jurucakap pengurusan Gunung Tai memaklumkan bahawa, pihaknya akan menambah bilangan kakitangan bagi mempertingkat kawalan dan pemantauan di kawasan berisiko tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
