Kemelut rumah tangga Zehra Zambri, suami belum berakhir

Kemelut rumah tangga penyanyi, Zehra Zambri, masih belum menemui penghujung apabila suaminya, Nur Mohd Iqwan Samsudin gagal melafazkan cerai pada prosiding yang berlangsung pada Rabu. Foto HAIRUL HELMI
Kemelut rumah tangga penyanyi, Zehra Zambri, masih belum menemui penghujung apabila suaminya, Nur Mohd Iqwan Samsudin gagal melafazkan cerai pada prosiding yang berlangsung pada Rabu. Foto HAIRUL HELMI
A
A
A

KEMELUT rumah tangga penyanyi, Zehra Zambri, masih belum menemui penghujung apabila suaminya, Nur Mohd Iqwan Samsudin gagal melafazkan cerai pada prosiding yang berlangsung pada Rabu.

Difahamkan, situasi itu berlaku kerana Zehra tidak berada dalam keadaan suci selain tidak bersetuju untuk menggugurkan empat daripada lima tuntutan yang difailkan dalam permohonan perceraian terhadap suaminya sebelum ini.

Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh pelantun lagu Gelisah Berbisik sejurus selesai prosiding kedua yang diadakan di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi.

"Sebelum ini, dia (suami) ada menyatakan kerelaan untuk melepaskan saya tetapi bersyarat, iaitu beberapa tuntutan permohonan cerai perlu digugurkan, terutamanya berkenaan nafkah.

"Namun, saya tidak bersetuju apabila dia mahu melepaskan saya dengan syarat tersebut kerana saya ada justifikasi dan sebab-sebab saya memohon cerai.

"Pada masa sama, perceraian tidak dapat diteruskan kerana saya berada dalam keadaan tidak suci.

"Saya sentiasa berdoa agar Allah permudahkan dan bukakan hati dia untuk ada sedikit rasa simpati dan empati kepada saya yang mahu membesarkan anak dengan baik dan mental yang sihat," katanya.

Dalam masa sama, peguam yang mewakili Zehra, Abd Muiz Samsuri berkata, anak guamnya telah melantik bapa kandung, Zambri Ahmad, sebagai wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi pihak plaintif.

Bagaimanapun, pihak defendan tidak membawa wakil JKP seperti yang sepatutnya dan diarahkan berbuat demikian pada tarikh baharu yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abd Muiz turut memaklumkan prosiding seterusnya dijadualkan semula pada 14 Julai depan bagi tujuan pembentangan laporan JKP di mahkamah.

Sementara itu, Nur Mohd Iqwan turut mengesahkan ketidakhadiran wakilnya atas alasan individu berkenaan mempunyai urusan kecemasan yang tidak dapat dielakkan.

"Saya telah melantik kawan rapat saya, seorang lelaki yang tahu selok-belok hubungan rumah tangga kami sejak mendirikan rumah tangga lebih tiga tahun lalu.

"Namun, hari ini dia tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan kecemasan," katanya.

Zehra bersama peguam syarienya, Abd Muiz Samsuri. Foto HAIRUL HELMI
Zehra bersama peguam syarienya, Abd Muiz Samsuri. Foto HAIRUL HELMI

Terdahulu, Zehra memfailkan cerai secara 'fast track' terhadap suami, Nur Mohd Iqwan, selepas mendakwa selama tiga tahun berkorban mempertahankan rumah tangga.

Nur Mohd Iqwan juga pernah berkongsi lima tuntutan permohonan perceraian yang difailkan oleh Zehra pada 7 Mac lalu, dan antara tuntutan tersebut adalah tiada lagi persefahaman antara mereka, culas menjalankan tanggungjawab, sikap, pengabaian serta institusi perkahwinan yang sudah tidak dapat diselamatkan.

Sebagai rekod, Zehra mendirikan rumah tangga dengan Nur Mohd Iqwan pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan berusia tiga tahun.

Sebelum itu, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri Wan Mohd Effendi pada 14 Oktober 2017, namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018.

Nur Mohd Iqwan juga pernah mendirikan rumah tangga dan memiliki dua cahaya mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!