Zehra Zambri nekad bercerai

PENYANYI Zehra Zambri nekad untuk meneruskan penceraian dengan suaminya, Nur Mohd Iqwan Samsudin, 47.
Menegaskan bahawa penyertaannya dalam program Gegar Vaganza 11 (GV11) bukan punca keretakan rumah tangga, wanita berusia 37 tahun itu memilih untuk merahsiakan sebab utama yang membuatkan dia tidak mampu lagi mempertahankan perkahwinan yang baru empat tahun dibina.
"Kami ingin bercerai bukan disebabkan saya sertai GV11. Sebab dan punca ingin berpisah biarlah kami sahaja yang tahu. Isunya sangat peribadi.
"Kalau soal usaha untuk menyelamatkan rumah tangga, saya sudah berusaha bertahun-tahun. Saya telah berkorban selama tiga tahun untuk rumah tangga ini, saya sudah berikan segala-galanya dan dia tahu itu.
"Saya sehabis baik menutup aib rumah tangga, tidak perlu berkongsi kepada umum kerana akan timbul pelbagai spekulasi buruk. Saya hanya akan kongsikan segalanya di mahkamah," katanya.
Zehra berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media Raya Astro 2025 di Hotel One World, Petaling Jaya, pada Rabu.

Tambah Zehra, keputusan untuk berpisah secara 'fast track' sudah dipersetujui oleh suami, namun dia berasa hairan apabila proses itu dipanjangkan.
"Keputusan untuk berpisah secara 'fast track' telah pun dibincangkan dan dia tahu. Kami sudah bersetuju, bukan saya buat keputusan sesuka hati.
"Sepatutnya boleh diselesaikan secara 'fast track', tetapi dia mengambil tindakan untuk memanjangkan, jadi saya ikut sahaja. Kalau dia nak fail nusyuz pun, silakan," jelasnya.
Ditanya mengenai tohmahan dan fitnah yang dilemparkan orang luar terhadapnya, bekas penyampai berita itu enggan ambil pusing.
Bagi penyanyi yang popular menerusi lagu Semalakama, apa yang lebih utama kini ialah menjaga kesihatan mental dan fokus terhadap anak.
"Orang luar tidak tahu apa yang saya lalui, teruskanlah membuat tohmahan dan fitnah terhadap saya. Keluarga saya tahu apa yang saya alami.
"Saya sekarang ingin menjaga kesihatan mental dan mahu fokus kepada perkara yang baik-baik sahaja serta anak yang masih kecil."
Sekadar info, Zehra mendirikan rumah tangga dengan Iqwan pada 10 November 2021. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia dua tahun.
Sebelum itu, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri pada 14 Oktober 2017, namun ikatan itu hanya bertahan selama enam bulan sebelum mereka bercerai pada April 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


