Hanya empat pemain 'kebal' di United

Maguire antara pemain yang mungkin akan kekal di United musim depan. Foto AFP
Maguire antara pemain yang mungkin akan kekal di United musim depan. Foto AFP
A
A
A

MANCHESTER United dikatakan bersedia melepaskan hampir keseluruhan skuad utama mereka pada jendela perpindahan musim panas ini, kecuali empat pemain sahaja yang akan dikekalkan.

Menurut laporan media antarabangsa, langkah drastik itu dibuat susulan prestasi hambar kelab sejak Ruben Amorim mengambil alih tugas daripada Erik ten Hag.

Ketika Amorim meninggalkan Sporting Lisbon, United berada di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris, namun kini merudum ke tangga ke-15 dengan hanya tiga perlawanan berbaki.

Biarpun masih berpeluang menjulang trofi Liga Europa dan seterusnya layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan, Amorim dilaporkan mahu merombak pasukan secara besar-besaran dan memerlukan pemain baharu bagi memperkukuh skuad di Old Trafford.

Antara sasaran utama Amorim ialah penyerang Wolverhampton Wanderers, Matheus Cunha dan Liam Delap dari Ipswich Town.

Kelab itu juga mencari pemain tengah dan penjaga gol baharu susulan prestasi kurang memberangsangkan Andre Onana musim ini.

Bagaimanapun, pengurusan kelab memaklumkan Amorim bahawa penjualan pemain sedia ada perlu dilakukan bagi menampung dana pembelian pemain baharu serta mematuhi peraturan kewangan yang semakin ketat.

Laporan Daily Star menyebut hanya empat pemain dianggap kebal daripada dijual iaitu Bruno Fernandes, Amad Diallo, Patrick Dorgu dan Harry Maguire.

Artikel Berkaitan:

Ini bermakna pemain seperti Alejandro Garnacho, Rasmus Hojlund, Joshua Zirkzee, Christian Eriksen, Casemiro, Kobbie Mainoo, Luke Shaw dan Matthijs de Ligt berkemungkinan akan dilepaskan jika menerima tawaran sesuai.

Marcus Rashford, Antony dan Tyrell Malacia pula dijangka meninggalkan kelab secara kekal selepas dipinjamkan pada jendela perpindahan Januari lalu.

Fernandes kekal sebagai tonggak utama sejak menyertai kelab dari Portugal pada 2020 dengan hampir 100 gol, dan Amorim dilaporkan mahu membina pasukan di sekeliling pemain antarabangsa Portugal itu.

Amad Diallo pula akan menjadi aset penting musim depan selepas pulih daripada kecederaan panjang, manakala Dorgu iaitu pemain pertama ditandatangani Amorim bakal diberi fokus khas bagi mempersiapkannya sebagai pemain sayap bertahan.

Maguire juga akan terus dikekalkan selepas menunjukkan kebangkitan prestasi sejak kebelakangan ini.

Meskipun sudah tiada harapan dalam saingan liga, United masih berpeluang menamatkan musim dengan piala sekiranya berjaya memenangi Liga Europa.

Mereka kini mendahului Athletic Bilbao 3-0 secara agregat menjelang aksi separuh akhir kedua, Jumaat ini.

Sekiranya mara ke final, United dijangka menentang Tottenham Hotspur yang kini mendahului Bodo-Glimt 3-1.

“Kami perlu sedar bahawa kami memikul tanggungjawab besar untuk menjuarai Liga Europa. Kami kalah dalam liga, tapi kami masih berjuang di Eropah. Fokus kini hanya pada perlawanan tersebut," kata Amorim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!