'Strategi serampang dua mata misi rundingan' - Pakar

SHAH ALAM - Malaysia disaran mempelawa Amerika Syarikat (AS) bekerjasama melaksanakan pelaburan ke Malaysia bagi sektor-sektor tertentu yang kurang diberikan penekanan sebelum ini sebagai sebahagian daripada strategi serampang dua mata dalam misi rundingan lanjut bersama negara itu.
Pakar ekonomi, Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, antara sektor wajar diberi perhatian adalah keselamatan dan keterjaminan makanan, perabot serta industri halal.
Menurutnya, langkah tersebut bagi memastikan sektor berkaitan berkembang dan memberi kesan limpahan ekonomi kepada Malaysia, pada masa yang sama mampu meningkatkan eksport dan import antara kedua-dua negara.
“Saya lihat langkah Malaysia buat kunjungan rundingan di AS baru-baru ini langkah ke hadapan bagi memastikan ekonomi Malaysia terus kompetitif di pasaran global.
“Walaupun AS rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia selepas Singapura dan China, namun kadar tarif diskaun yang dikenakan kepada Malaysia sebanyak 24 peratus masih lagi tinggi jika dilihat struktur ekonomi negara Malaysia yang masih kecil jika dibandingkan dengan AS.
“Justeru langkah siri rundingan perlu terus dilakukan kerajaan Malaysia supaya kadar tarif dapat dikurangkan seminimum mungkin agar pemain industri di pasaran ekonomi Malaysia mampu berkembang,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat, terdapat kemungkinan tarif timbal balik yang dikenakan AS akan dikurangkan berikutan negara itu bersetuju berunding lebih lanjut mengenai isu berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd Faisol yang juga Pensyarah Ekonomi dan Perbankan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, Malaysia juga perlu memperluas jalinan pasaran produk Malaysia ke pasaran baharu dan meningkatkan eksport Malaysia ke pasaran sedia ada termasuk Singapura dan China serta Timur Tengah supaya barangan tertentu yang dieksport ke AS sebelum ini dapat dikurangkan.
Ini secara tidak langsung katanya, dapat mengurangkan defisit dagangan AS dengan Malaysia dan pada masa sama ekonomi Malaysia terus mampan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
