Cinta tak direstui keluarga, wanita pukul dan kurung teman lelaki hingga maut

Wanita dipercayai memukul dan mengurung teman lelaki hingga maut ditahan pihak berkuasa.
Wanita dipercayai memukul dan mengurung teman lelaki hingga maut ditahan pihak berkuasa.
A
A
A

JAWA BARAT – Seorang pelajar perempuan dari Kabupaten Majalengka, Jawa Barat ditahan polis disyaki mendera teman lelakinya, VR, 23, hingga mati.

Ketua Polis Daerah Majalengka, AKBP Willy Andrian berkata, insiden itu berlaku pada 30 April lalu sekitar jam 3 petang di rumah suspek di Blok Tiga, Desa Lengkong Wetan, Kecamatan Sindangwangi, Majalengka.

Menurutnya, motif suspek yang berusia 21 tahun itu adalah kerana marah disebabkan cintanya tidak direstui keluarga mangsa.

"Pada awalnya, mangsa meminta suspek menghantarnya pulang ke rumah ibu bapanya. Permintaan itu membuatkan suspek berang kerana hubungan mereka tidak direstui ibu bapa mangsa," katanya.

Ujar Willy, suspek yang merupakan pelajar sebuah kolej di Majalengka berasa terhina dan marah apabila mendengar nama ibu bapa mangsa disebut.

Katanya, suspek kemudian memukul mangsa beberapa kali di bahagian mata, tangan, bahu dan pinggang menggunakan tangan dan telefon bimbit.

“Bukan itu sahaja, malah mangsa juga tidak diberikan bantuan perubatan dan dikurung dalam bilik selama tiga hari. Suspek turut mengunci bilik dan meninggalkan mangsa dalam keadaan lemah sehingga dijumpai meninggal dunia pada Sabtu lalu.

“Suspek kemudiannya menyimpan mayat mangsa di dalam bonet keretanya jenis Toyota Agya berwarna putih. Pada Ahad, suspek membawa mayat ke Hospital Daerah Majalengka dan petugas hospital mendapati mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurut Willy, polis segera mengambil tindakan menangkap suspek selepas menerima laporan daripada bapa mangsa, Tata Juara, 60.

Artikel Berkaitan:

Suspek boleh didakwa di bawah Pasal 338 KUHP tentang pembunuhan atau Pasal 351 ayat (3) KUHP tentang penyerangan yang mengakibatkan kematian, dengan hukuman penjara paling lama 15 tahun jika didapati bersalah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!