Dipanggil SPRM buat kali kelapan, Ismail Sabri dijangka sambung beri keterangan esok

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka hadir semula ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat kali yang kelapan pada Rabu bagi direkod keterangan berkaitan pengisytiharan harta.
Menurut sumber, Ahli Parlimen Bera itu sepatutnya hadir pada Selasa namun ditangguhkan ke hari berikutnya.
"Pegawai penyiasat dijangka akan merakam keterangan beliau pada sebelah pagi," katanya pada Selasa.
Difahamkan, proses siasatan masih berjalan memandangkan terdapat beberapa dokumen penting yang perlu disahkan oleh Ismail Sabri.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan terhadap kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri itu mencapai antara 15 hingga 20 peratus.
Azam memaklumkan sesi keterangan dengan Ismail Sabri akan diteruskan dalam masa terdekat.
Bekas Perdana Menteri itu kali terakhir hadir ke pejabat SPRM adalah pada 24 April lalu untuk memberikan keterangan berhubung pengisytiharan harta.
Beliau sebelum ini juga telah beberapa kali hadir ke Ibu Pejabat SPRM berkaitan siasatan sama.
Ismail Sabri disiasat berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan perolehan dan perbelanjaan dana untuk tujuan promosi serta publisiti program kerajaan semasa tempoh memegang jawatan Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

