Prabowo mahu kos haji Indonesia lebih murah dari Malaysia

JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menegaskan bahawa kerajaan akan terus berusaha menurunkan kos perjalanan haji bagi rakyat Indonesia kerana dianggarkan masih mahal berbanding Malaysia.
“Saya minta dikurangkan lagi kerana saya belum puas. Kita harus mencapai yang termurah yang boleh kita capai. Kalau boleh lebih murah daripada Malaysia,” kata Prabowo semasa perasmian Terminal Khusus Haji dan Umrah 2F di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada Ahad.
Prabowo turut berjanji akan menyediakan perkhidmatan terbaik bagi jemaah haji Indonesia dan meminta Menteri Agama serta pihak berkaitan mencari penyelesaian agar kos haji dapat diturunkan lagi.
“Saya akan berusaha sekeras tenaga untuk memberi perkhidmatan terbaik, juga kita berjuang untuk menurunkan kos haji semurah-murahnya yang kita mampu,” tambahnya.
Dalam kesempatan itu, Prabowo juga menyatakan bahawa jumlah jemaah haji dan umrah Indonesia boleh menjadi salah satu yang terbesar di dunia, dengan lebih daripada 2.2 juta jemaah diterbangkan ke Tanah Suci dan puncak jemaah sehari boleh mencapai 12,000 orang.
“Ini sesuatu yang sangat besar, mungkin kita yang terbesar di dunia daripada seluruh umat Islam, mungkin Indonesia yang paling besar rombongan haji dan umrah,” ujarnya.
Beliau menekankan bahawa kerajaan ingin memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah kerana ramai jemaah kini sudah berusia lanjut.
Tahun ini, kos haji Indonesia telah dikurangkan sebanyak Rp4 juta (RM1,029) seorang, iaitu daripada Rp93.41 juta (RM24,275) pada 2024 kepada Rp89.41 juta (RM23,100) pada 2025. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

