Lelaki maut ditikam gara-gara rebut tempat sedekah

SHAH ALAM - Pertengkaran mulut antara dua individu berkaitan isu perebutan tempat meminta sedekah menjadi punca seorang lelaki berusia 40 tahun mati akibat ditikam suspek di hadapan sebuah bank di Seksyen 18, di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ekoran tidak berpuas hati, suspek kemudiannya bertindak mengeluarkan sebilah pisau dan menikam bahagian dada mangsa beberapa kali.
Menurutnya, tikaman berkali-kali itu menyebabkan mangsa jatuh terbaring berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.
"Suspek telah dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan secara prosedur tertutup di wad pemerhatian Hospital Shah Alam pada Selasa, jam 10.22 pagi.
"Semasa pertuduhan dibacakan, suspek mengangguk faham, dan tarikh sebutan semula ditetapkan pada Jumaat di Mahkamah Majistret Shah Alam.
"Pertuduhan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun jika disabitkan bersalah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, suspek yang berusia 28 tahun itu mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.
Jelasnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
Katanya, mangsa merupakan seorang peminta sedekah di sekitar kawasan bank tersebut, manakala suspek pula berhasrat meminta sedekah di kawasan yang sama.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan pihak polis menerima maklumat berkaitan kejadian itu pada 24 April, sekitar jam 12 tengah hari daripada orang awam.
Bertindak atas maklumat, tangkapan ke atas suspek dibuat pada hari yang sama, jam 12.30 tengah hari di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

