Rugi RM213,000 gara-gara iPhone 16 Pro, pelaburan palsu

Dua wanita tempatan mengalami kerugian lebih RM213,000 selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan dan cabutan bertuah menerusi media sosial sejak Mac lalu. Foto hiasan
Dua wanita tempatan mengalami kerugian lebih RM213,000 selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan dan cabutan bertuah menerusi media sosial sejak Mac lalu. Foto hiasan
A
A
A

TANGKAK - Dua wanita tempatan mengalami kerugian lebih RM213,000 selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan dan cabutan bertuah menerusi media sosial sejak Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berkaitan penipuan tersebut pada Selasa.

Menurutnya, kes pertama melibatkan seorang wanita berusia 53 tahun yang menjadi mangsa penipuan pelaburan.

“Mangsa telah membuat transaksi kewangan berjumlah RM178,700 ke dalam dua akaun milik suspek antara Mac hingga April lalu.

"Bagi kes kedua pula, ia melibatkan seorang wanita berusia 33 tahun yang diperdaya dengan tawaran cabutan bertuah di aplikasi Instagram.

“Mangsa dijanjikan ganjaran berupa wang tunai dan telefon bimbit jenama iPhone 16 Pro. Mangsa kemudian membuat enam transaksi berjumlah RM34,695 ke dalam enam akaun bank berbeza milik suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan kerugian bagi kedua-dua kes itu adalah sebanyak RM213,395.

Ujarnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta sebat dan denda jika disabit kesalahan.

Dalam pada itu, Roslan menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan serta cabutan bertuah yang tidak sah.

Artikel Berkaitan:

“Dapatkan maklumat terkini berkaitan modus operandi penipuan melalui laman media sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial seperti Facebook, Instagram dan TikTok,” katanya.

“Mana-mana individu yang menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sebagai langkah awal untuk menyekat pemindahan wang daripada akaun suspek,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!