10 cedera dalam nahas babitkan 14 kenderaan

BUKIT MERTAJAM – Seramai 10 individu mengalami kecederaan ringan dalam satu kemalangan membabitkan 12 buah kereta dan dua motosikal di Kilometer 11, Lebuhraya Butterworth–Kulim (BKE) arah Butterworth pada pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 7.10 pagi daripada orang awam.
“Siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Honda City membrek secara mengejut akibat kesesakan di hadapan, menyebabkan beberapa kenderaan di belakang gagal mengelak dan berlanggar antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, dua buah motosikal turut terlibat apabila salah seorang penunggang leka melihat kemalangan yang berlaku sebelum melanggar motosikal di hadapannya.
“Lapan pemandu kereta dan dua penunggang motosikal cedera ringan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya,” katanya.
Kes disiasat di bawah Peraturan 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

