Maritim tumpaskan cubaan seludup keluar cecair dadah RM15 juta

ALOR GAJAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menumpaskan cubaan membawa keluar cecair kimia mengandungi dadah bernilai hampir RM15 juta di Pengkalan Balak di sini pada malam Khamis lalu.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim, Mohd Zawawi Abdullah berkata, rampasan 179 liter cecair kimia itu merupakan kejayaan terbesar dan pertama yang direkodkan Maritim Malaysia.
Menurutnya, kesemua bahan kimia campuran tersebut ditemui di dalam 15 kotak berisi 179 botol yang dibalut dengan plastik hitam di pesisir Pantai Pengkalan Balak setelah pihaknya melakukan risikan dan rondaan menaiki aset Benteng 04 pada jam 9.40 malam.
Katanya, taktik tersebut digagalkan hasil kerjasama Unit Risikan Maritim Negeri dengan Bahagian Perisikan Maritim (MIND) dari Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

"Semasa rampasan dilakukan tiada sebarang tangkapan dibuat dan dipercayai individu yang melaksanakan kegiatan ini telah menyedari kehadiran Benteng 04 di perairan itu.
"Hasil daripada ujian awal yang dilakukan kita mendapati kandungan yang terdapat di dalam cecair kimia ini mengandungi ephedrine yang digunakan untuk penghasilan dadah sintetik dalam pelbagai jenis," katanya ketika sidang akhbar rampasan cecair campuran kimia itu di Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kuala Linggi di sini pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Komander Maritim Norrimi Hassan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan juga mendapati cecair kimia yang dirampas oleh pihaknya itu dipercayai mahu dihantar ke negara jiran memandangkan nilai pasaran negara terbabit lebih tinggi berbanding di negara ini.
Ujarnya, bahan kimia berkenaan mampu dibekalkan kepada lebih 300,000 hingga 800,000 penagih di pasaran gelap.
"Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang serta rangkaian sindiket yang terlibat," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

