'Rockfall netting', 'rockfall barrier' halang batu besar hempap dua kenderaan

GEORGE TOWN – Langkah awal pemasangan sistem keselamatan cerun di Lorong Bukit Kukus, Paya Terubong di sini nyata membuahkan hasil apabila insiden bongkah batu jatuh dari cerun berhampiran Pangsapuri Grandview tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda serius.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, insiden yang berlaku Sabtu lalu berjaya dikawal dengan berkesan hasil pemasangan 'rockfall netting' dan 'rockfall barrier' yang telah siap sepenuhnya November tahun lalu.
"Sistem tersebut bertindak menghalang batu-batu besar daripada menghempap dua kenderaan dan menyelamatkan nyawa penduduk di kawasan berkenaan.

"Susulan kejadian itu, pihak Jabatan Geoteknik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah turun ke lokasi bagi menjalankan siasatan serta menilai tahap kestabilan cerun di kawasan terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Zairil, kerja-kerja mitigasi tambahan sedang diperincikan secara menyeluruh oleh jabatan teknikal terlibat sebagai langkah segera bagi menjamin keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya.
“Kerja mitigasi ini diberi keutamaan dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi mengelakkan kejadian berulang.
"Menurut rekod, kerja-kerja pembaikan cerun dan pemasangan sistem keselamatan bernilai RM6.8 juta itu bermula pada Mei 2023 dan siap sepenuhnya pada 14 November 2024," ujarnya.

Beliau turut menasihatkan orang awam agar tidak meletakkan kenderaan di sepanjang cerun buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja mitigasi dijalankan dengan lancar.
"Penduduk turut diingatkan agar sentiasa berwaspada ketika melalui kawasan tersebut sehingga langkah-langkah keselamatan tambahan dilaksanakan sepenuhnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

