Sinergi kerajaan, majikan tangani isu pekerja bergaji rendah

Kadar gaji di negara ini masih belum cukup untuk memberikan kehidupan yang benar-benar selesa. Gambar hiasan
Kadar gaji di negara ini masih belum cukup untuk memberikan kehidupan yang benar-benar selesa. Gambar hiasan
A
A
A

ISU gaji rendah bukan perkara baharu dalam negara kerana sudah bertahun-tahun rakyat, khususnya golongan muda dan pekerja bawahan, menzahirkan keluhan tentang pendapatan yang tidak setimpal dengan kos sara hidup semasa.

Meskipun pelbagai dasar dan inisiatif diperkenalkan, realitinya kadar gaji di negara ini masih belum cukup untuk memberikan kehidupan yang benar-benar selesa.

Justeru, kerajaan perlu memperhalusi langkah meningkatkan kadar gaji rakyat, misalnya merombak struktur ekonomi yang kebanyakannya masih bergantung kepada sektor berpendapatan rendah seperti perladangan, pembinaan dan perkhidmatan asas.

Tidak dinafikan sektor tersebut menyediakan banyak peluang pekerjaan, namun ia tidak menjanjikan pulangan gaji yang tinggi.

Sebaliknya, terdapat keperluan mendesak untuk beralih kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi tinggi, misalnya teknologi maklumat, bioteknologi, kejuruteraan serta tenaga boleh diperbaharui.

Namun, ia memerlukan pelaburan besar dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta latihan kemahiran.

Selain itu, kerajaan perlu menambah baik sistem pendidikan dan latihan teknikal, contohnya dengan memperkasa pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) agar setaraf dengan aliran akademik.

Hal ini kerana TVET benar-benar menjanjikan prospek kerjaya terbaik dan gaji cemerlang buat anak muda lepasan sekolah, meskipun ada yang menganggapnya sekadar ‘pilihan kedua’.

Bukan itu sahaja, salah satu sebab utama kadar gaji kekal rendah adalah kebergantungan kepada tenaga kerja asing yang tinggi, namun upah yang ditawarkan terlalu rendah.

Artikel Berkaitan:

Keadaan ini sedikit sebanyak menekan pasaran kerja dan menyukarkan kenaikan gaji bagi pekerja tempatan.

Sehubungan itu, kerajaan perlu menetapkan had yang lebih tegas terhadap pengambilan pekerja asing dan menggalakkan automasi serta penggunaan teknologi dalam sektor tradisional.

Menaikkan gaji sahaja tidak cukup jika kos sara hidup terus meningkat tanpa kawalan.

Justeru, langkah meningkatkan gaji perlu disertai dengan usaha kerajaan mengawal harga barangan keperluan asas, menyediakan perumahan mampu milik dan memperluaskan jaringan pengangkutan awam.

Apabila perbelanjaan harian rakyat dapat dikurangkan, maka gaji yang diterima menjadi lebih bermakna.

Dalam masa yang sama, ia juga dapat meningkatkan kuasa beli rakyat yang seterusnya merangsang ekonomi domestik.

Isu gaji rendah bukan sekadar angka pada slip gaji bulanan, tetapi turut berkait rapat dengan maruah dan kualiti hidup rakyat.

Terdapat banyak lagi langkah yang boleh dipertimbangkan, namun ia tidak boleh dilaksanakan secara berasingan, sebaliknya memerlukan sinergi antara kerajaan, majikan, pekerja dan masyarakat secara holistik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!