5 langkah tingkat kadar gaji rakyat

Pakar-pakar ekonomi mencadangkan lima langkah yang boleh diambil kerajaan bagi merombak struktur ekonomi, sekali gus bagi memastikan kadar gaji sebenar rakyat Malaysia dapat dipertingkatkan secara mampan. Foto hiasan
Pakar-pakar ekonomi mencadangkan lima langkah yang boleh diambil kerajaan bagi merombak struktur ekonomi, sekali gus bagi memastikan kadar gaji sebenar rakyat Malaysia dapat dipertingkatkan secara mampan. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Pakar-pakar ekonomi mencadangkan lima langkah yang boleh diambil kerajaan bagi merombak struktur ekonomi, sekali gus bagi memastikan kadar gaji sebenar rakyat Malaysia dapat dipertingkatkan secara mampan.

Antara langkah yang dicadangkan ialah menambat ringgit mengikut nilai komoditi sekali gus menyebabkan mata wang lebih stabil, mengurangkan pengambilan pekerja asing melalui pendigitalan dan automasi, membangunkan industri setempat dengan produk berasaskan teknologi, memantapkan sektor pendidikan serta dasar gaji progresif.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School (PBS), Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kadar gaji menyusut adalah disebabkan sistem monetari itu sendiri sekali gus menjadikan kuasa membeli semakin merosot setiap tahun.

“Kadar inflasi meningkat setiap tahun dan kuasa membeli merosot.

“Ia disebabkan wang yang diterima tak cukup untuk sara hidup kerana mata wang itu sendiri bersifat mata wang fiat, iaitu tidak disandarkan pada mana-mana komoditi.

“Apabila mata wang tidak menjadi sandaran, memang sukar untuk nilainya mengukuh. Jadi, penyelesaiannya harus melihat kepada bagaimana mata wang kita boleh disandarkan kembali kepada komoditi melalui teknologi,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Ahmed Razman, Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin akan memperkenalkan mata wang digital bank pusat (CBDC) iaitu wang kripto menggunakan teknologi blockchain.

Jelasnya, apabila dicipta secara elektronik, bermakna ada cara untuk menambatkan mata wang itu dengan komoditi tertentu seperti emas, minyak sawit, beras.

“Ia akan menyebabkan mata wang kita lebih stabil dan mengukuhkan kuasa membeli berbanding sekarang,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Ahmed Razman turut mencadangkan agar kerajaan mengurangkan pengambilan pekerja asing melalui pendigitalan dan automasi.

Katanya, apabila mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, Malaysia akan berhijrah kepada automasi yang memerlukan pekerja berkemahiran tinggi dan sederhana untuk mengendalikan semua mesin dan sistem.

“Dari situlah, kita boleh mengajikan pekerja tempatan dengan kadar gaji yang lebih tinggi.

“Kita kena ada perancangan untuk mengurangkan kebergantungan pekerja asing ini secara sedikit demi sedikit.

“Selain itu, kita kena membangunkan industri setempat supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan, terutamanya yang memerlukan pembangunan produk berasaskan teknologi.

“Sekarang ini, sebahagian besar PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) kita adalah dalam sektor makanan (F&B). Kena perbanyakan lagi PMKS dalam bidang sektor teknologi, pembangunan pembuatan dan pembangunan sistem digital,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid turut senada dan menyatakan perlu satu pendekatan yang lebih praktikal dengan menggalakkan model perniagaan berkos tinggi.

Jelasnya, ia bermaksud perniagaan itu menekankan aspek nilai tambah yang tinggi melibatkan penyelidikan dan inovasi umpamanya, sekali gus dapat meningkatkan pengeluaran.

“Jadi, secara tidak langsung sektor pendidikan kita kena mantap, supaya lebih banyak graduan yang berdaya saing, berketerampilan dan mungkin boleh menguasai mata pelajaran STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) dengan lebih baik lagi,” katanya.

Mohd Afzanizam turut memuji dasar gaji progresif yang dilakukan kerajaan sekarang ini yang dilihat salah satu cara ke arah meningkatkan pendapatan rakyat.

“Ia merupakan satu bentuk intervensi oleh kerajaan, yang mana kerajaan memperuntukkan sekitar RM200 juta untuk 2025, melibatkan kira-kira 55,000 orang.

“Dasar ini merupakan langkah intervensi untuk meningkatkan tangga gaji pekerja, diikuti dengan peningkatan inovasi dengan skim-skim latihan bagi pekerja yang terlibat,” jelasnya.

INFO: 5 langkah tingkat kadar gaji rakyat Malaysia

- Tambat ringgit mengikut komoditi, sekali gus menjadikan mata wang lebih stabil

- Kurangkan pengambilan pekerja asing melalui pendigitalan dan automasi

- Bangunkan industri setempat dengan produk berasaskan teknologi

- Mantapkan sektor pendidikan

- Dasar gaji progresif

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!