Gaji graduan cukup-cukup makan

KUALA LUMPUR - Kos sara hidup yang kian meningkat di kawasan bandar menyebabkan pekerja baharu dalam kalangan graduan universiti perlu bijak menguruskan kewangan kerana gaji permulaan tidak setara dengan perbelanjaan harian.
Tinjauan Sinar Harian terhadap beberapa graduan muda daripada pelbagai bidang pekerjaan mendapati mereka rata-rata menerima gaji permulaan sekitar RM2,000 hingga RM3,000.
Walaupun jumlah itu dikatakan memenuhi jangkaan awal mereka namun kini mereka akui ia hanya sekadar cukup-cukup makan untuk keperluan asas.
Seorang pegawai pemakanan sukan di sebuah kelab bola sepak di Lembah Klang, Ahmad Afifu’d-din Hisamuddin, 24, berkata, dia menerima gaji permulaan sebanyak RM3,000.
“Saya anggap gaji ini memadai bagi seorang graduan. Ia mencukupi untuk keperluan asas seperti sewa bilik, makan minum, bayaran balik pinjaman pendidikan dan kos pengangkutan.
“Saya selesa bekerja di syarikat sekarang dan ingin terus menimba pengalaman. Tapi saya harap sumbangan saya akan dihargai dengan kenaikan gaji yang setimpal.
“Saya jangka gaji akan meningkat dalam tempoh lima tahun kerana bidang pemakanan sukan masih kecil dan memerlukan tenaga pakar yang berpengalaman,” katanya.
Menurut graduan Ijazah Sains Pemakanan dan Kesihatan Komuniti dari Universiti Putra Malaysia itu, hidup secara sederhana dan berjimat adalah kunci utama untuk bertahan di bandar besar.
Pekerja sektor sumber manusia, Rabiatul Adawiyah Fathor Rasi, 26, pula berkata, dia menerima gaji permulaan sebanyak RM2,000 sebagai peserta program latihan sambil bekerja di bawah syarikat cari gali minyak.
“Bagi saya ia memenuhi jangkaan kerana saya sedar peranan saya sebagai peserta latihan, bukan kakitangan tetap,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia itu.
Walaupun tinggal bersama keluarga membantunya menjimatkan kos, Rabiatul mengakui perlu mencari kerja tetap dengan gaji lebih tinggi selepas menimba pengalaman menerusi program tersebut.
Sementara itu, penerima Anugerah Pelajaran Diraja UPM, Mohammad Haziq Zikri Zainuri, 23, meluahkan rasa kecewa apabila gaji permulaan sebagai pengkaji saintifik tentang diet dan pemakanan dalam sektor korporat tidak mencapai jangkaan.
“Secara jujurnya, industri dietetik ini memang dibayar rendah. Ramai graduan merancang tukar bidang kerana sukar untuk berkembang dari segi kewangan.
“Buat masa ini saya masih mampu bertahan kerana tinggal bersama ibu bapa, namun masa depan bakal mencabar jika gaji tidak meningkat seiring kos sara hidup.
“Saya berharap gaji permulaan untuk fresh grad di Kuala Lumpur sekurang-kurangnya RM3,000 dengan kos barang yang makin mahal, angka itu baru cukup untuk hidup sendirian,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

