Harga barang sama seperti di bandar, tapi gaji di kampung sangat rendah

PAHANG – Pendapatan isi rumah mencecah RM2,000 sebulan masih belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian sekeluarga di luar bandar dalam keadaan kos sara hidup yang kian menghimpit pada ketika ini.
Pembantu kantin, Rosnita Yahaya, 39, berkata, situasi itu memaksa dirinya melakukan pelbagai kerja sampingan bagi meneruskan kelangsungan hidup.
“Gaji kerja kantin memang tidak cukup, jadi bila habis waktu sekolah, saya ambil upah penghantaran makanan.
“Dapatlah RM15 sehari untuk perkhidmatan penghantaran. Kalau hujung minggu, saya ambil tempahan sambal, masak patin tempoyak, boleh raih RM70 pun dah cukup untuk belanja anak sekolah,” katanya yang tinggal di Bukit Kuantan.
Ibu kepada dua anak itu memberitahu, suaminya, Roslan Othman, 45, pula bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.
"Bagaimanapun jumlah pendapatan itu bergantung kepada jumlah trip yang diperoleh.
“Ada masa langsung tiada trip, jadi tiada gaji. Itu yang beri kesan besar kepada kami sekeluarga,” ujarnya.
Rosnita berkata, perbelanjaan bulanan tertinggi ialah bil air yang mencecah RM90 sebulan, manakala bil utiliti lain masih terkawal namun kos barangan dapur semakin meningkat berbanding sebelum ini.

“Dulu RM300 cukup untuk beli barang dapur sebulan, sekarang RM400 lebih pun belum tentu cukup, kadang- kadang hujung bulan terpaksa cari duit lain untuk tampung.
“Itu belum masuk belanja sekolah anak-anak, minyak motosikal, kereta dan kos ulang alik hospital untuk rawatan anak di hospital pada setiap bulan," katanya.
Tambah Rosnita, dalam keadaan sekarang, mereka terpaksa berjimat sehabis mungkin termasuk mengurangkan keperluan diri sendiri demi anak-anak.
Katanya, walaupun tinggal di kawasan luar bandar, harga barangan keperluan tidak jauh berbeza dengan bandar.
“Sebab itu saya rasa pekerja luar bandar juga perlu terima gaji setaraf dengan pekerja di bandar.
“Harga barang sama, tapi gaji berbeza. Hidup makin susah sekarang,” ujarnya.
Sementara itu seorang pemandu traktor di Terengganu, Mohd Zaki Sulong, 51, mengakui gaji bersih sekitar RM2,000 hingga RM2,200 sebulan tidak mencukupi apabila sebahagian besar pendapatannya digunakan untuk membeli barangan dapur dan makanan harian.
"Sekarang ni barang makan makin mahal, bila dapat gaji terus habis beli barang dapur. Biasanya sekali beli barang kering habis dalam RM600 ke RM700, tapi kadang-kadang lebih sampai RM800 pun ada.
“Barang basah pula macam ikan, ayam, sayur, dua hingga tiga hari sekali beli, sekali beli paling kurang RM60 ke RM70, kalau lauk mahal sikit boleh cecah lebih RM100.
"Belanja keseluruhan untuk makan sahaja sekarang boleh mencecah RM1,800 hingga RM2,000 sebulan. Itu bagi saya yang tinggal di luar bandar, yang hari-hari makan di rumah,” katanya yang bekerja di Felcra Bukit Kapah.
Ujar bapa kepada tujuh anak itu, perbelanjaan makan menjadi keutamaan kerana lima daripada anaknya masih bersekolah.
"Dulu boleh jimat, sekarang semua mahal, barang naik, lauk pun naik, makan tengah hari seorang pun dah lebih RM15.
"Mujurlah ada anak yang sudah bekerja membantu saya serba sedikit dari segi kewangan,” katanya.
Tambah Mohd Zaki, isterinya, Nor Azlina Mohd Amin, 47, seorang suri rumah maka dia terpaksa mencari kerja sambilan seperti membersih kebun, menebang pokok atau mengutip kelapa.
“Saya percaya semua orang pun rasa tekanan sebab harga barang makin hari makin naik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
