'Datang naik skuter, pulang bawa Mitsubishi Triton'

Siti Zaharah dan suami gembira meraikan 'tuah' selepas terpilih sebagai pemenang utama hadiah cabutan bertuah RXZ Fighter 2.0 pada Sabtu.
Siti Zaharah dan suami gembira meraikan 'tuah' selepas terpilih sebagai pemenang utama hadiah cabutan bertuah RXZ Fighter 2.0 pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Datang hanya membonceng skuter ditunggang suami namun rezekinya pulang membawa sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton Athlete baharu.

Itu tuah kerani wanita dari Bera, Siti Zaharah Rahman, 35, pemenang hadiah utama cabutan bertuah pada acara permotoran RXZ Fighter 2.0.

Ibu kepada dua anak lelaki berusia 10 dan 11 tahun itu berkata, dia dan suami merupakan peminat permotoran dan sering mengikuti acara yang dianjurkan.

"Hari ini saya dan suami datang dengan menaiki skuter Yahama X-Max walaupun ada memiliki motosikal 'legend' Yamaha RXZ.

"Masa sampai di tapak acara ini, saya beli dua kemeja-T berharga RM85 sehelai dan layak untuk mendapatkan tiket cabutan bertuah ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah utama sempena perasmian RXZ Fighter 2.0 yang berlangsung di Teluk Chempedak di sini pada Sabtu.

Fadzli menyampaikan replika kunci kenderaan pacuan empat roda yang dimenangi Siti Zaharah, pemenang utama hadiah cabutan bertuah RXZ Fighter 2.0 pada Sabtu.
Fadzli menyampaikan replika kunci kenderaan pacuan empat roda yang dimenangi Siti Zaharah, pemenang utama hadiah cabutan bertuah RXZ Fighter 2.0 pada Sabtu.

Siti Zaharah mengakui dia ada berangan untuk memiliki hadiah utama itu.

"Saya beritahu suami, kalau dapat kenderaan pacuan empat roda ini, saya hendak buat kerja sampingan macam khidmat hantar barang dan sebagainya.

"Itulah, awalnya seronok-seronok berangan, tak sangka nombor 37161 yang ada di tangan bawa tuah apabila diumumkan sebagai pemenang utama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hadiah bermakna diterima peserta bertuah itu disampaikan Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal.

Empat motosikal Yamaha RXZ turut disediakan sebagai antara hadiah utama kepada pemenang bertuah acara tersebut selain hadiah berupa barangan kemas dan wang tunai.

Penganjuran acara permotoran RXZ Fighter 2.0 mendapat sambutan di luar jangkaan apabila merekodkan lebih 70,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya di Teluk Chempedak di sini pada Jumaat dan Sabtu.

Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding kira-kira 50,000 pada RXZ Fighter Gathering tahun lalu.

Lebih membanggakan, selain peserta dari seluruh negara, acara itu kali ini turut menerima penyertaan peserta luar negara dari Thailand, Indonesia dan Singapura.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!